Adv

Wednesday, April 27, 2011

Satu malam di pasar malam

Seperti yang selalu aku tulis di status Facebook, setiap Selasa malam pasti aku akan Hooray! Hooray! nak pegi pasar malam. Sama lah seperti malam semalam. Setelah hujan reda, kami sekeluarga pun berbondong-bondong ke pasar malam Bandar Kinrara untuk membeli makan malam, kerepek dan barang dapur. Walaupun rumah dekat dengan Giant tapi aku lebih suka membeli barang dapur di pasar malam. Mungkin kerana teriak-teriak ramah peniaga yang berwajah ceria, tidak seperti jurujual pasaraya yang mengharap gaji bulan-bulan dan selalu tak ambil kisah pun untuk bersedekah senyum pada pelanggan.

Jadi, semalam setelah membeli makanan kegemaran setiap ahli keluarga; murtabak untuk Wazif, jagung untuk Shawqi, kek batik untuk Shawqi, keropok untuk Shawqi, kuay teow untuk Atuk, nasik lemak untuk Nenek dan serunding untuk aku dan suami, kami pun singgah di gerai kerepek 4 Sepuluh Ringgit atas permintaan Shawqi (Shawqi lagi!).

Ketika aku, Wazif dan Shawqi sedang memilih kerepek yang berkenan di hati aku lihat suamiku tertunduk-tunduk mengutip sesuatu dari atas jalan, kelihatan seperti wang kertas. Sekilas pandang kulihat seperti not seringgit. Apabila suamiku mengunjukkannya ke arahku, kulihat sebenarnya ada satu not 50 dan sehelai not 10 yang dilipat bersama. Akupun terkejut dan berkata, 'Banyak tu! Siapa yang tercicir ni? Takkan tak perasan...'

Suamiku bertanya apa yang patut dilakukan. Aku cadangkan untuk tunggu sebentar, mungkin tuannya akan datang mencari sebentar lagi. Shawqi yang lurus bendul pula mencelah, 'Ayah jumpa kat mana tadi? Letaklah balik kat situ.' Suamiku tertawa geli hati. 'Kalau ayah letak balik, nanti ada orang lain pulak curi,' katanya kepada Shawqi yang kurang mengerti.

Setelah berbincang, kami sepakat untuk menerangkan situasi dan mengamanahkan wang 60 ringgit itu kepada penjaja di gerai kerepek 4 Sepuluh Ringgit yang kebetulan berada hanya kira-kira 3 meter dari tempat duit tersebut ditemui. Suamiku menghampiri penjaja itu untuk membayar kerepek pilihan kami dan bercerita tentang wang yang tercicir itu.

Sambil itu, aku perhati keliling kalau-kalau ternampak insan malang tuan empunya wang. Aku tidak dapat mengagak bagaimana rupanya. Mungkin tua, mungkin muda, mungkin fakir, mungkin kaya. Secara rambang, aku perhati satu-satu pengunjung pasar malam sambil menolak kereta sorong Zarif perlahan-lahan.

Selang beberapa langkah, aku terdengar sepasang suami isteri bertengkar dengan suara yang tenggelam timbul di sebalik keriuhan suasana pasar malam. Aku menghampiri mereka. Sang suami sedang mengelek anak kecilnya yang sebaya Zarif di tangan kiri dan menjinjing barang-barang di tangan kanan. Sang isteri juga sarat menjinjing barang-barang dapur di kedua-dua belah tangan. Wajah sang isteri sugul sambil matanya meliar melihat keliling.

Ditinjaunya gerai buah, gerai sayur dan gerai ikan. Kemudian aku lihat dia terbongkok-bongkok melihat jalan tar di sudut-sudut yang tidak disimbah cahaya lampu penjaja. Aku langsung syak, itulah empunya wang 60 ringgit tadi. Aku memanggilnya, 'Dik! Dik!' Tetapi kerana jarak antara aku dengannya melebihi 5 meter, dan mungkin tiada siapa yang sudi menoleh kalau mendengar laungik 'Dik!' akupun berlari-lari anak mendekati lalu mencuit bahunya.

'Adik ada hilang duit ke?' aku terus mengajukan pertanyaan wajib itu. Wajah sugul sang isteri berubah menjadi cerah.

'Betul, betul Kak. Suami saya ni lah tadi,' dia menunjuk ke arah suaminya. Aku tak berminat untuk ambil tahu apa masalah dia dengan suaminya, lantas aku bertanya soalan wajib kedua.

'Berapa hilang?' sang isteri menggaru-garu dagunya, sang suami buat muka seperti sedang mencongak-congak sesuatu.

'Lima puluh kak, eh bukan... enam puluh lah sebenarnya. Tadi ada satu duit sepuluh ringgit jugak,' sang isteri memberitahu dengan penuh yakin.

Aku bukan detektif yang arif membaca riak muka dan bahasa badan tapi dari saiz anak matanya, aku yakin dia berkata benar.

'Duit tu ada kat suami saya, dia kat situ,' aku menunjuk ke arah suamiku yang masih berbual dengan penjaja di gerai kerepek 4 Sepuluh Ringgit. Wazif dan Shawqi ketiak itu terlompat terkinja di sebelah suamiku mungkin tidak sabar untuk pulang dan menikmati makan malam.

'Adik ni yang tercicir duit tu,' aku menghampiri suamiku lantas memberitahu.

Suamiku tidak berlengah, lalu menyerahkan duit 60 ringgit kepada sang isteri. Dia mengucapkan terima kasih tidak putus-putus dan berkata,

'Itulah, suami saya ni lah tadi....' sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya, suami dan aku meminta diri untuk pulang dahulu. Sungguh, kami tidak berminat untuk mendengar masalah dia dengan suaminya. Kami tinggalkan pasangan itu di gerai kerepek 4 Sepuluh Ringgit dan mereka pun berbual dengan si penjaja.


No comments: