Adv

Tuesday, January 14, 2014

Cerpen: Yang Tinggal

Kali terakhir aku jejak kaki ke flat ini mungkin enam bulan lepas. Jamuan perpisahan untuk Fazil. Ramai yang datang; termasuk aku dan Fazil, aku kira mungkin ada dua puluh orang. Itu majlis paling sedih aku pernah hadiri. Setiap yang datang tiada alasan untuk senyum, apa lagi ketawa. 

Fazil bakal meninggalkan Malaysia selepas kematian tunangnya, Haiza, rakan kami semua. Aina yang beria-ia mahu adakan jamuan perpisahan itu, walaupun aku awal-awal menegah. Mata Fazil merah dan bengkak sepanjang jamuan. Melihat kami, samalah seperti melihat bayang-bayang arwah Haiza. Berbicara dengan kami, dia tak dapat lari daripada menyentuh tentang arwah Haiza. 

Aku rasa bersalah. Aku bawa Fazil lari keluar. Kami masuk ke dalam lif dan turun ke tingkat bawah. Saat itu Fazil masih menangis. Aku heret dia masuk ke restoran kecil di tepi kedai runcit. 

"Bukan senang melepaskan orang yang sudah berbelas tahun kita sayang." Berulang-ulang Fazil mengingatkan aku. Dia pun tahu aku berfikiran serupa. Cuma bezanya, aku cuma kawan baik arwah Haiza, bukan kekasihnya. 

"Bila tak ada di Malaysia, bolehkah kau lupakan semuanya?" Aku tanya dia pula. Fazil geleng. Kami sama-sama tahu itu mustahil. Aku tahu dia takkan lupakan arwah Haiza sampai bila-bila. Dia boleh jumpa gadis lain, kawin, beranak, pindah, tukar kerja, pergi Mekah, dapat menantu - tapi dia takkan mampu kikis nama Haiza dari ingatan.

"Aku pergi untuk larikan diri, dan cari balik diri aku. Panggillah aku pengecut, tapi aku tak mampu hadapi semua ni di sini." Fazil berterus terang. 

Dia terus pulang tanpa kembali ke jamuan di flat Aina, yang diadakan khusus buatnya. Aku naik semula bertemu Aina untuk sampaikan salam dan permohonan maafnya. Rakan-rakan yang lain terus pulang. Tiada siapa yang komen apa-apa. Selepas flat itu kosong, Aina masuk ke bilik tanpa ucapkan selamat malam pada aku. Aku tutup pintu flat dari luar dan pulang berjalan kaki seorang diri.

Fazil berlepas ke Kanada. Aku kekal di Malaysia, bekerja di sebuah syarikat kecil milik seorang rakan. Aina melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan. Aku tak pernah tanya mengapa. Selama ini aku sangkakan dia mahu jadi peguam. 

"Bila-bila masa, siapa-siapa pun boleh berubah." Itu saja hujah Aina bila akhirnya dia mengangkat panggilan telefonku. Komunikasi kami kian jarang. Dia tak suka emel. Selama inipun kami kerap bertemu - tak perlu emel atau kaedah komunikasi elektronik lain. Tapi ini yang terus buat aku hairan. Aina mengelak bertemu aku. 

Fazil saja yang kerap mengirim emel. Kadang-kadang dia ajak aku berbual di ruang Skype. Mesti nak tengok muka sekali-sekala, katanya. Akibat perbezaan zon waktu, aku terpaksa berjaga malam untuk sesi Skype dengan Fazil. Dia sudah berisi, tidak cengkung seperti mula-mula dia bertunang dengan arwah Haiza. Tidak dapat tidak, nama arwah Haiza timbul sekali-sekala bila kami berbual. 

"Aku sangkakan hidup aku akan hancur," kata Fazil satu hari di sesi Skype. "Tapi, kenangan dengan arwah Haiza sudah jadi inspirasi pada aku sekarang," katanya penuh ceria. 

"Arwah kawan aku yang paling hebat." Aku tahu aku mesti cakap yang baik-baik saja tentang arwah Haiza. Orang dah tak ada, tak usahlah diungkit-ungkit jika ada sebarang keburukannya yang masih kita ingat. 

"Aku ingat aku nak balik," kata Fazil minggu lepas yang membuatkan aku ternganga. "Cukuplah enam bulan merantau." Lucu juga. Aku nyaris terketawa tapi aku tak mahu Fazil berkecil hati. Ini sesi Skype, kalau di telefon, boleh juga aku tutup-tutup mulut. 

"Baliklah," aku menyokong. "Banyak lagi yang menanti kau di sini."

Selepas perbualan itu aku terima emel daripada Fazil. Dia akan tiba di KLIA hari ini. Kerana emel itu, aku kembali ke flat Aina hari ini. Setelah lebih enam bulan tidak menjenguk, aku dikejutkan dengan keadaan ruang tamu yang bersepah dan tak terurus. 

Aina menghilang ke bilik air setelah membuka pintu. Lima minit kemudian dia muncul semula. Sun dress yang membalut tubuh tampak longgar; tubuhnya seolah-olah hilang dalam baju ungu kegemarannya. 

"Sorry, berterabur," dia kesal dengan keadaan flat. "Aku tak ada hati nak kemas." 

"Apa jadi pada kau?" Aku terus mendakap tubuhnya yang sudah banyak susut berbanding dulu. 

Aina duduk di sofa yang dipenuhi majalah lama. Aku cuba mencari ruang untuk duduk, tapi hanya beberapa inci sahaja yang tidak ditimbuni sama ada barang, surat khabar, majalah ataupun bekas makanan. 

"Aku tak ada hati nak buat apa-apa. Musim gembira aku dah lepas. Hati aku dah tak ada, kau faham?" 

Aku geleng. Kriptik sangat kata-kata Aina hari ini. 

"Aku mengharap sangat dia akan kembali pada aku." Dia mengeluh. Pandangannya melekat pada permaidani yang kian lusuh. "Lepas Haiza mati, aku ingat aku akan dapat dia balik. Tapi, rupa-rupanya dia tinggalkan aku bukan semata-mata sebab Haiza." Aina terdiam lama.

Tak ada nasihat yang mampu aku beri. Hanya beberapa cebis kenangan datang menjengah. Kisah di kolej. Ketika Fazil dan Aina keluar bersama - bercinta, kemudian bertengkar, baik semula, kemudian bermasam muka. Antara yang aku ingat adalah kata-kata Fazil: "Aku tak mampu layan perempuan keras kepala macam tu." 

Aku kerap jadi orang tengah antara Aina dan Fazil. Tapi aku tak tahu menahu bila Fazil mula berminat dengan arwah Haiza. Tahu-tahu, aku dapat undangan ke majlis pertunangan mereka. 

"Kau datang nak tambahkan sakit hati aku, ya?" Aina mematahkan angan-angan aku. 

"Aku tak mampu buat apa-apa kalau kau kata kau dah tak ada hati." Aku tersenyum. Pahit. 

"Kalau kau tak mampu tolong aku, tak payahlah datang sini." Aina bangun untuk lari ke biliknya. Aku sempat mencapai lengannya yang kurus, tinggal secekak. 

"Tunggu. Fazil balik hari ni. Aku nak bawa kau pergi KLIA." Niat sudah aku sampaikan. Terpulang pada Aina sama ada mahu teruskan usahanya. Ini saja yang aku mampu bantu.

"Betul?" Ekspresi di wajah Aina berubah terus. "Fazil balik Malaysia?" Mata bundar yang tadi lesu kini bercahaya. "Berapa lama?"

"Katanya forever." Benar. Itu kata-kata Fazil dalam emel yang kuterima kelmarin. Dia sudah yakin mampu meneruskan hidup di Malaysia. Akhirnya dia sudah berjaya merelakan pemergian arwah Haiza. Dia tak perlu membuang diri lagi.

"Tunggu! Aku siap sekarang." Aina berlari-lari anak masuk ke bilik dan keluar semula dua puluh minit kemudian, berdandan rapi. 

"Welcome back, my friend," bisik aku dalam hati. 

Aina menggelisah dalam teksi. Aku dihujani pelbagai pertanyaan tentang Fazil. Mereka tak pernah berhubung. Aina telah mengunci dirinya daripada sebarang saluran komunikasi selama enam bulan ini. Berita tentang aku pun dia tak tahu. 

Terasa lambat betul perjalanan ke KLIA. Berkali-kali aku jeling speedometer teksi. Dah naik letih aku menjawab soalan-soalan Aina - tentang Fazil, tentang kariernya, tentang kehidupannya di Kanada, tentang keputusan mengejutnya. 

Bunyi SMS masuk di telefon bimbit menyelamatkan aku. Aku kerling sebentar - nombor antarabangsa. Aina berhenti bertanya bila aku beri isyarat aku mesti baca SMS yang baru tiba. 

'Nini, aku dekat arrival hall. Nak sewa kereta. Kita pergi kubur Haiza kejap, ya?' - SMS daripada Fazil.

'Nak pergi terus?' - Aku balas SMS itu segera.

'Ya. Nak minta restu dia.' - Balas Fazil.

'Restu?' 

SMS Fazil buat aku keliru. Aina di sebelah sudah menunjukkan riak bingung. 

'Aku nak tunjuk kat dia wanita yang dah mengisi hati aku.' - SMS Fazil yang buatkan aku cepat-cepat menyimpan telefon bimbit dalam beg tangan. 

"Siapa?" Tanya Aina.

"Ofismet," dalih aku. Dahi mula berpeluh. Ini bukan sesuatu yang aku jangka.

Ini hari yang paling tak sesuai untuk aku berada di sebelah Aina. Diam-diam aku berdoa teksi ini tak membawa kami ke KLIA. Terbang sajalah ke bulan, kalau boleh. Terbang ke mana saja, asalkan aku, Fazil dan Aina tak berada dalam ruang yang sama.









7 comments:

Anonymous said...

Nice story. .

Anonymous said...

Nice..left me hanging and wondering.

mahmud thalut said...

Assalamualaikum.
Salam 12 Rabiulawwal.
Alhamdulillah. Sudah membacanya. Hebat. Bersama olahan bahasa yang padat . Dan penghujungnya berjaya menggelisahkan pembaca. Tahniah:)

Didie said...

Apakah kesudahannya???

mikamusz said...

nak tau lagik

Awin said...

sambung?

Unknown said...

Hmmm.... Penghujung yang menggelodak rasa. Sabooo je la....