Adv

Friday, February 14, 2014

Cerpen: Mungkin dia Valentine kamu

Dia bukanlah jenis manusia yang takut mencuba. Bukan juga jenis yang pemalu tak tentu fasal. Cuma kadang kala dia tampak pendiam dan kerap menyendiri. Tapi kalau disuruh naik ke pentas dan berikan ucapan berpuluh-puluh minit, dia boleh lakukan dengan penuh yakin. Dalam mesyuarat-mesyuarat kelab dan persatuan pun, dia sering bersuara lantang: menyuarakan pendapat, berdebat, mempersoalkan tindak-tanduk ahli-ahli yang lain. Pendek kata, dia jenis manusia yang tak gentar untuk berterus terang. Dia – Khuzairi bin Khalid atau lebih dikenali sebagai Jai miliki sifat kejantanan yang kental dalam diri.

“Habis tu, terketar-ketar ni kenapa?” Sergah Hafiz, membuatkan Jai tersentak di depan cermin.

“Isy, aku tengah praktis ni. Sekarang memanglah ketar sikit. Nanti aku confident lah.” Jai menggosok-gosok kedua tapak tangan. Dia berdiri tegak semula di depan cermin, satu tangan diseluk ke dalam kocek seluar. Satu lagi tangan menepuk-nepuk dada sambil berdeham.

“Okey, sekali lagi. Aku nak tengok macam mana kau nak tanya dia. “ Hafiz kembali duduk di kerusi plastik di tepi meja studi. “One, two, three… go!” Jari telunjuk dituding ke arah Jai.

“Muz,” kata Jai penuh manja, tersenyum mengadap cermin. Tubuhnya disengetkan sedikit. “You sudi tak keluar dengan I for Valentine dinner?”

“Isy! Gedik sangatlah,” tegur Hafiz. Jai mendengus.

“Alah takkan macam tu kau kata gedik? Macho kot gaya aku tadi.”

“Ya Allah, tersenget-senget, tersengih-sengih macam kerang busuk. Takde nya orang macho nak buat camtu lah.” Hafiz bangun dan berdiri di sebelah kiri Jai. Mereka berdua mengadap cermin.  Jai bercekak pinggang manakala Hafiz berdiri santai dengan kedua-dua tangan di sisi.

“Muz, kita gi dinner jom, esok? I belanja. Esok Valentine, beb.” Kening Hafiz terangkat-angkat.

“Itu dah macam rempit punya bahasa, bhai!” Jai menepuk belakang Hafiz hingga dia terdorong ke depan, hampir mencium cermin. Hafiz jadi sedikit berang.

“Rileklah, itu baru contoh pertama. Sekarang tengok, macam mana cara nak ajak Muz, James Bond style pulak.”

“Tak boleh sebab I prefer shaken and stirred.” Jai tergelak.

Hafiz buat muka loya. “Sudahlah. Martini pun tak pernah tengok,” ejeknya.

“Eh! Poyo sangat kau ni! Nak tiru James Bond, apa kejadahnya? Biasa-biasa je tak boleh?”

“Kalau nak, seribu cara, tak hendak, seribu dalih,” perli Hafiz. “Kau nak ke taknak ni? Kalau kau taknak, ramai lagi yang nak ajak Muz keluar Valentine’s Day ni, tau. Mesti ramai yang tengah beratur nak ambik nombor tu.  Jangan frust menonggeng, merengek dalam bilik aku ni nanti, ya?”

Mereka berdua terus berlatih sampai azan asar kedengaran. Selesai solat, mereka sambung berlatih lagi. Jai tak pernah sangka begini payah persediaannya untuk mengajak Muz keluar. Ini hari istimewa, makan malam paling istimewa.

Pada tahun-tahun sudah, dia tak pernah keluar dengan sesiapa pun pada hari Valentine. Lagipun, tahun lepas dia tinggal sebilik dengan Abang Khairul, AJK Biro Kerohanian Kolej Kediaman Kemboja. Awal-awal lagi Abang Khairul sudah tampal pelbagai poster di kawasan kolej kediaman tentang hukum menyambut Valentine. Telinga Jai juga tak habis-habis dipantak dengan aneka pesanan dan peringatan.

“Kalau kamu semua degil, nak sambut juga Hari Valentine, nanti amalan kamu semua ditolak, faham?” Abang Khairul menjegil ke arah beberapa pelajar junior yang dipanggil berkumpul di bilik. Waktu itu Jai sendiri menikus di belakang rakan-rakannya. “Majlis Fatwa dah putuskan sambutan itu bukan amalan yang dianjurkan oleh Islam, jadi kenapa kamu semua nak sambut juga? Nak cari peluang nak dekatkan diri dengan zina, bukan?” Suara Abang Khairul meninggi. Pelajar junior semua tunduk tidak berkutik. Bulu roma masing-masing tegak berdiri bila perkataan ‘zina’ ditekankan oleh Abang Khairul.

Tahun ini Jai tersenyum lega, Abang Khairul sudah tamat pengajian – tiada lagi di Kolej Kemboja. Rakan sebiliknya sekarang pelajar PhD yang sentiasa sibuk siang malam. Jarang-jarang sekali wajahnya muncul di bilik. Jai gembira. Tiada lagi pengawas tak bertauliah yang memantau setiap gerak-geri. Dia kini bebas. Dan perkara yang paling penting dia perlu lakukan tahun ini ialah sambut Valentine dengan Muz.

Aah… Muz…! Dia membisik nama pujaan hatinya untuk kesekian kali hari ini. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Matanya masih belum mahu pejam. Hatinya makin berdebar menanti hari esok. Dia merancang untuk bertemu Muz di kafeteria fakulti pada jam 10.30 pagi, selepas kuliah Akaun. Jai terkebil-kebil merenung siling. Tiba-tiba dia terfikir, macam mana kalau Muz kata Tidak/Tak Mahu? Apa cara dia harus melindungi rasa malu itu nanti?

“Argh!!” Jai memicit-micit kepala. “Apa aku nak buat ni?”

Setelah berlatih berjam-jam dengan Hafiz tadi, keyakinan dirinya sudah terlalu tinggi hinggakan dia terlupa masih wujud kebarangkalian Muz tak sudi keluar dengannya. Sungguhpun mereka sudah berkawan agak rapat sejak sebulan ini dan Muz begitu mesra dengannya, itu tidak menjamin dia sudi menjadi teman untuk Valentine.

Jai bangkit dari katil lantas mencapai buku nota di meja studi. Dia duduk terpaku dengan pen hitam terpegang kemas. Kepalanya mula merangka-rangka ucapan pembukaan. Dia perlu tulis surat ini buat Muz. Dia mesti terangkan perasaan sebenarnya, agar Muz betul-betul faham. Seandainya Muz menolaknya esok, surat ini akan dihulurkan sebagai pengganti diri.

Dear Muz,
Sepanjang 19 tahun kehidupanku, ini pertama kali aku bertemu insan yang benar-benar memahami - seolah-olah otak kita berada pada frekuensi yang sama. Dulu ada yang tuduh aku dungu, budak pelik, bodoh tapi aku telan saja. Kini aku sudah jumpa seseorang yang boleh jalan seiring dan bangun berganding. Aku yakin kau akan terima aku seadanya. 

Daripada kau aku dapat keberanian dan kekuatan, Muz. Kini aku tak lagi takut dengan bayang-bayang sendiri. Aku mahu kau selalu berada bersama, sampai hujung nyawa. Kau harus sedar, kita berdua mampu mengubah dunia – atau sekurang-kurangnya dunia akan buka mata pada kita.

Aku betul-betul sayang kau, Muz. Sampai matipun rasa ni tak mungkin padam. Kau insan pertama yang berjaya hidupkan hatiku yang sudah lama mati. I’ll love you forever and ever and would give everything for this love.

Sayang kamu,
Jai

Surat itu dibaca berulang kali dan setelah puas hati, dilipatnya kemas-kemas dan dimasukkan ke dalam kocek beg kuliah. Akhirnya dia berjaya memujuk mata untuk pejam dan terlena.

Berjalan ke dewan kuliah pagi itu adalah pengalaman yang paling mendebarkan. Dari jauh sudah terlihat Muz turun dari kereta Rudy, pelajar paling kaya dalam kelas. Kata orang ayah Rudy ada berpuluh-puluh syarikat. Kereta yang dipandu Rudy ke kuliah pun, hanya orang berpendapatan lima angka sebulan yang mampu beli. Jai hanya berjalan tunduk ketika melintasi kereta Rudy di ruang parkir.

“Tadi aku nampak kau tersengih-sengih, tapi sekarang, kenapa masam?” Tegur Hafiz yang berdiri di tepi pintu fakulti, menunggunya.

“Tak ada apa-apalah. Dah. Jom masuk. Kuliah dah nak mula. Prof Nazim dah tercongok kat depan tu.” Jai tak mahu memanjangkan apa yang dirasakan tadi. Dia mahu bertenang, bersedia untuk pertemuan dengan Muz yang bakal berlangsung di kafeteria kira-kira sejam dari sekarang. Dia mengurut dada beberapa kali ketika Prof Nazim menyampaikan kuliah. Satu maklumat pun tak tersangkut dalam hati dan kepalanya. Dia terus risaukan apa yang bakal terjadi di kafeteria nanti.

Sebelum tamat kuliah, Prof Nazim mengedarkan helaian tutorial yang mesti disiapkan sebelum kuliah seterusnya. “Saya tahu ada ramai antara kamu yang nak sambut Valentine’s Day. Tapi, jangan lupa siapkan tutorial saya, ya? Tak ke mana valentine kamu tu.” Kata-katanya menghiris hati Jai.

Tapi, kalau dia terlepas ke tangan orang lain, macam mana Prof? Dia menyoal dalam hati. Sementara itu Prof Nazim sudah bersiap-siap untuk meninggalkan dewan kuliah. Hafiz sejak tadi sudah mencucuk-cucuk bahunya dengan belakang pen.

“Apa dia?” Dengus Jai.

“Jom! Cepatlah! Peluang ni hanya datang sekali, woi!” Dia mengingatkan.

Kelam-kabut Jai mengemas barang-barang dan melompat dari bangku lantas membuntuti Hafiz yang sudah melangkah laju. Mungkin sama laju dengan degup jantung Jai sekarang.

Hai, betul ke aku nak buat ni? Aku dah habis fikir ke tentang ni? Dia menimbulkan keraguan sendiri. Tali beg sandang dipegangnya kemas-kemas. Peluh dingin sudah mengalir di pelipis dan belakang tengkuk. Hafiz tersenyum kelat bila Muz, Rudy dan dua lagi pelajar lelaki yang rancak berbual di salah sebuah meja.

“Ramainya asshole keliling dia, Jai,” bisik Hafiz.

“Biasalah tu. Tuhan temukan kita dengan ramai assholes kat dunia ni supaya kita senang nak kenal permata yang tersembunyi di celah-celah longgokan sampah,” jawab Jai dengan tenang. Hafiz terkejut dengan falsafah rakannya yang baru pertama kali didengar.

“Konon-konon, permata tu kaulah, ye? Macam gitu, ek?” Dia menepuk bahu Jai setelah mengambil tempat di sebuah meja yang sangat hampir dengan meja Muz, Rudy dan rakan-rakannya.

“Diamlah, aku nervous ni.”

“Eh, janganlah camtu. Dah penat practice semalam.” Muka Hafiz pula yang bertukar pucat. Dia mahu rancangan ini berjaya. Dia mahu tengok Jai gembira sekali-sekala. Bukan senang jadi budak nerd dalam program matrikulasi. Walaupun baru setahun lebih kenal dengan Jai, dia yakin Jai dah selalu kena buli di zaman persekolahan. Melihatkan perwatakannya yang pendiam dan pemalu, mesti dulu ramai seniors yang suruh dia basuh kasut dan kemas katil di asrama.

“Kita minum dulu, boleh tak? Tekak aku dah rasa macam span basuh pinggan.”

Hafiz membeliak mata. “Wey, tak sempat nanti. Entah-entah Muz dengan geng-geng Rudy tu nak terus cabut kejap lagi. Nanti kau jugak yang putih mata.”

Jai menggosok-gosok kedua tapak tangan. “Yelah. Yelah. Aku pergi sekarang.” Surat dalam kocek beg dibawa keluar lalu digenggam kemas.

“Good luck!” Bisik Hafiz bila Jai bangun dan mula mendekati meja di mana Muz, Rudy dan rakan-rakannya sedang bergelak ketawa. Jai tak mampu menyingkirkan rasa cemburu sejak terlihat Muz dan Rudy bertepuk tampar semasa turun dari kereta pagi tadi. Macam ada sesuatu antara mereka. Tapi dia tak pasti.

“Hi guys! Wassap?” Jai mengangkat tangan kepada Muz dan yang lain. Matanya hanya bertumpu pada Muz.

“Eh, Jai!” Sahut Muz, ceria. “Jomlah, join kitorang. Ajak Upeh tu sekali. Korang ni asyik berkepit berdua je. Jom! Jom!” Di kalangan rakan sekuliah, Hafiz lebih dikenali sebagai Upeh walaupun dia tiada kaitan dengan Upin dan Ipin.

“Er.. aaa.. hmm… takpe.. takpe..” Jai terketar-ketar. “Upeh nak lepak kat situ. Saya nak cakap sikit dengan awak, Muz. Boleh tak? Tapi dengan awak sorang je.”

Rudy dan rakan-rakannya menghadiahkan pandangan pelik. “Cakap ajelah kat sini. Apa yang rahsia sangat ni? ” Tegas Rudy.

“Emm… personal sikit.” Jai tahu dia kena kawal muka, jangan merah padam. Nanti entah apa yang Rudy dan yang lain fikir.

“Oh, it’s okay… it’s okay. We can speak over there.” Muz menuding ke sudut berhampiran pasu bunga besar. Pasu yang sering dijadikan ashtray oleh para perokok tegar di fakulti ini. Jai terus mengukir senyum bila Muz bangun dan mengisyaratkan ‘Jom!’ padanya. “Rudy, tolong jagakan my bag ni, ya?” Muz meletakkan beg LV kesayangnnya di ribaan Rudy.

“Kay…” jawab Rudy sambil mengerling tajam ke arah Jai. “Entah apa-apa lah mamat ni,” rungut Rudy kepada rakan-rakannya.

Muz dan Jai berdiri begitu hampir di tepi pasu besar penuh dengan puntung rokok. Tangan mereka hampir bersentuhan, membuatkan dada Jai kian bergoncang.

“What is it, Jai?” Tanya Muz, manja seperti biasa. “Macam penting je. Are you having any problem with Prof Nazim again?” Muz tahu tentang kisah semester lepas - tentang bagaimana Prof Nazim hampir memotong markah kerana dia mempersoalkan beberapa soalan dalam kertas ujian.

“Oh, tak. Ini pasal lain.” Jai tersenyum kalut. Kata-kata dalam kepala mulai hilang satu persatu. Entah apa yang dihafalnya dengan Hafiz semasa latihan semalam, dia dah tak ingat langsung.

Hafiz hanya memerhati mereka dari jauh. Debar di dada Jai sejak tadi sudah berjangkit padanya. Dia tak mahu rakan baiknya kecewa.

“Cakap ajelah. Mana tahu, kalau I boleh tolong. I promised that we’ll always help each other, kan?” Kata Muz dengan senyum meleret yang sering membuat hati Jai mencair.

“Macam ni. I … er …. I nak ajak you dinner besok.” Sungguhpun tak lancar, kata-kata itu terpantul juga dari mulut Jai.

“Oh! Sure! Boleh… boleh…” Muz bersandar di tiang bersebelahan pasu besar. Jai juga terasa mahu bersandar pada sesuatu. Kakinya makin tak kuat untuk menampung sejuta kegembiraan ini.

“And… will you....will you be my Valentine, Muz?” Graf keyakinannya mula menaik semula.

Ekspresi wajah Muz berubah serta merta. “Valentine? What do you mean? I tak faham. Trend baru ke kat kolej ni?”

“Oh, sebenarnya… sebenarnya…” Peluh dingin mula merenik di pinggir anak rambut Jai. Dia tak dapat menebak apa yang bermain di fikiran Muz sekarang. “I want you to be my Valentine and the love of my life, Muz. We feel so right together. And I love you.”

“Huh?” Wajah Muz seperti kejang seketika. Matanya tak berkelip. “I… I think there’s a misunderstanding between us.” Dia menuding ke arah dadanya dan kemudian ke dada Jai. “A huge one, Jai.”

Jai mula tak tentu arah. “Tapi Muz… I know you love me too. I dapat rasakan Muz. Cara you layan I, cara you cakap dengan I...”

Muz angkat tangan kanan, isyarat agar Jai tidak meneruskan kata-kata. “I’m sorry kalau you rasa macam tu, Jai. Tapi, percayalah you tak patut ikutkan hati macam ni. You are my good friend, Jai.”

Adakah aku sudah dilemparkan ke dalam Friend Zone? Jai tak mampu menidakkan itu. Tapi dia tetap berdegil.

“Please Muz. I love you and I’m sure you will learn to love me,” rayunya.

Muz menggaru-garu kening sambil mengeluh panjang. “Tolonglah Jai. Aku bukan gay lah, babi! Aku straight! Tak faham-faham ke?” Dia mengetap bibir dan terus berlalu meninggalkan Jai yang sudah kian parah.

Tak pedulikan orang sekeliling, Jai mengejar Muz dan menghulurkan surat yang ditulis malam tadi. “Please, baca ni Muz,” bisiknya sebelum berlalu penuh kehampaan. Muz sekadar mencampakkan surat yang dilipat kecil ke meja lalu dikutip oleh Rudy.

Jai capai beg dengan muka masam mencuka. Hafiz, tanpa berlengah, terus bangun untuk menyertai rakannya yang baru saja dikecewakan. Dia sudah bersedia dengan ayat-ayat yang disusun dalam kepala untuk memujuk Jai nanti.

Sementara itu, Rudy dan rakan-rakannya sedang tergelak terbahak-bahak membaca isi kandungan surat Jai. Muz hanya duduk tertunduk memicit-micit kepala. Dia sendiri tak tahu di mana silap dan salahnya hingga jadi begini.

“Apa ilmu kau pakai Muzafar, oi? Budak lembik tu dah syok kat kau. Abislah kau… abislah!” Usik Rudy dengan tawa yang masih bersisa.

Muz merenung sayu ke arah Jai dan Hafiz yang sedang berjalan pantas menuju pintu keluar fakulti. “Entahlah. Arwah ayah aku selalu pesan: kawan dengan orang baik-baik. Aku ikut je nasihat dia. Tapi, macam ni pulak jadinya.”

“Dengar sini nasihat aku,” kata Rudy. “Next time, pasang gay-dar juga kat kepala kau ni. Dari jauh lagi kau dah boleh tahu orang macam Jai tu.”

Hari Valentine datang dan pergi. Jai jadi satu antara berbilion penduduk bumi yang kecewa Valentine ini.














2 comments:

aini79 said...

Endingnya membuatkn sy wajib ulang bc utk kali ke-2 :D

Awin said...

hahahahahahahahaha.... siot laaaa