Adv

Tuesday, June 21, 2016

Lagi kisah tentang arwah Apak

Ini kisah Hari Bapa yang aku tulis tahun 2009. Terjumpa dalam FB notes, maka aku republish kat blog ni pulak. Selamat membaca!

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Hari ini Hari Bapa. Aku tak buat apa-apa sebab bapa aku sudah tiada. Ingatkan nak masuk pertandingan menulis Entri Hari Bapa tapi rupa-rupanya tarikh tutup pernyertaan adalah pada 15 Jun 2009. Mengapalah aku asyik tertinggal keretapi?

Hari kelmarin aku cuma pegi beli coklat sekotak, bungkus cantik-cantik dan lepas tu, suruh Waz1f dengan Shawq1 tulis kad untuk bapa diorang. Diorang konon buat surprise lah. Masa bapa diorang balik dari pasar malam, diorang bagilah bungkusan coklat tu. Pagi ni diorang yang bersungguh-sungguh menjamu selera dengan coklat tu. Aku sempat rasa sebijik aje tadi.

Kalau arwah bapa aku hidup lagi, tahun ni dia akan berumur 78 tahun (sebab dalam IC kata dia lahir tahun 1931). Itupun tarikh lahir sebenarnya tak dapat dipastikan. Aku dilahirkan ketika bapa aku berusia 43 tahun manakala emak aku 34. Kiranya aku ni benih hujung-hujung lah. Mungkin sebab itu selalu ada personality conflict. Bapa dengan mak aku tak pernah jangka aku akan dilahirkan seorang perempuan sebab 5 orang anak mereka sebelum aku semuanya lelaki. Masa aku kecik aku selalu rasa nak jadi lelaki sebab jadi budak perempuan tak best langsung.
Pakai seluar jeans hari-hari tak boleh, gelak kuat-kuat tak boleh, melepak depan TV duduk terkangkang tak boleh, nak pegi main bola dengan budak-budak lelaki petang-petang tak boleh. Banyak betullah pantang larang kalau dilahirkan jadi budak perempuan ni.

Nasib baiklah zaman aku kecik, budak perempuan dah boleh tengok TV, pegi sekolah dan baca buku. Kalau aku lahir zaman Jahiliah mungkin aku akan jadi ketua Pejuang Pemberontak Wanita yang sangat brutal.

Berbalik kepada cerita arwah bapa aku (ni kan entri Hari Bapa, yang aku membebel pasal aku punya kisah masa kecik tu kira sengaja melencong jauh le.. hehehe). Aku panggil arwah bapa aku Apak. Jangan tanya asal-usulnya panggilan itu, akupun tak pasti. Tapi kawan-kawan aku lagi confuse sebab aku panggil mak aku Mummy. Cuba bayangkan, duduk kat kampung, sekolah kat kampung tapi panggil mak, Mummy. Teruk jugaklah kena kutuk zaman-zaman sekolah rendah dulu, tapi aku tetap maintain macho.

Apak aku garang boleh tahan. Bila mood dia baik, dia memang ramah dan gelak huha-huha. Tapi bila angin dia datang, eloklah baca Bismillah dan bagi salam baik-baik sebelum nak cakap apa-apa dengan dia. Aku yang perempuan ni pun pernah kena tampar dengan dia. Aku tak ingatlah apa ceritanya, masa tu aku kecik lagi.

Masa aku dalam darjah 2 Apak pernah tanya aku nak hadiah apa-apa tak sebab masa tu aku periksa dapat Nombor 1. Aku cakap nak basikal sebab kawan-kawan lain semua ada basikal. Tapi mummy dengan apak aku tak bagi. Diorang bimbang aku akan terlebih sosial kalau ada basikal. Budak perempuan yang rebellious dan sosial memang tak sesuai diberikan basikal. Pada masa yang sama, apak aku tanya abang aku nak apa sebab dia pun dapat keputusan periksa yang cemerlang. Abang aku cakap dia nak Drawing Block. Dalam hati aku, 'Cheh, lukih pun tak reti, nak drawing block konon....' Pada keesokan harinya, kami dua-dua orang mendapat drawing block. Padan muka aku, hahahahaha.

Masa aku lepas Penilaian Darjah Lima, apak bagi aku surprise gift sebab dapat keputusan semua A. Masa tu apak dengan abang aku yang No. 2 pegi beli kat Triang. Hadiah tu besar!!! Kotak dia berbalut dengan kertas bunga-bunga warna merah. Apak nak bagi hadiah tu kat aku masa hari ucapan dekat sekolah. Dalam pada menunggu hari ucapan, maka hadiah tu diletakkan di rumah dekat meja aku selalu buat homework. Aku cuba-cuba jugak nak intai apa benda yang ada dalam kotak tu, tapi kotaknya tebal, tak boleh nak siat sikit pun.

Semasa hari ucapan dan penyampaian hadiah, apak aku datang pakai slack, kemeja, kot dan bawak briefcase. Aku cuak gila. Tahun tu memang apak pengetua PIBG kat sekolah, aku tau memang dia akan bagi ucapan. Tapi, apa hal lah nak kena pasang badan sampai macam tu sekali, kan? Bila tiba giliran apak bagi ucapan, aku sorok-sorok tutup telinga sebab aku takut dia nak buat lakonan sebabak filem P. Ramlee, kalau tak pun dia nak buat lawak Aziz Sattar. Lepas dia mula berucap lebih kurang 2 minit, aku dengar kawan-kawan aku gelak sakan. Aku pun turunkan tangan dan baru sibuk tanya orang sebelah apa dah jadi. Kawan kat sebelah aku cakap ,'Best lah ayah kau. Kelakar betul. Macam ni lah kalau nak bagi ucapan menarik.'

Sampai hari ni aku tak pasti apa yang apak buat sepanjang 2 minit tu. Tapi, bila aku dah tak tutup telinga, dia bercerita dan bagi nasihat supaya jangan mudah terpedaya dengan manusia yang luarannya nampak mengkagumkan tapi sebenarnya auta semata. Lepas tu ada lagilah apak aku cerita pasal keyakinan diri. Bila habis berucap, semua kawan-kawan akupun tepuk tangan dengan meriahnya.

Sewaktu sessi penyampaian hadiah, apak sendiri yang sampaikan hadiah besar tu kepada aku. Bila aku bawak hadiah tu keluar, kawan-kawan akupun kerumun nak tengok apa kat dalam kotak tu. Maka, akupun buka beramai-ramai. Semua orang suspen, akupun suspen jugak. Kawan-kawan aku semua teka mesti mini-compo sebab zaman tu breakdance dengan mini-compo tengah popular. Tekaan semua orang meleset sebab sebenarnya apak aku bagi hadiah mesin taip jenama Brothers. Hehehehe... sebab hadiah itulah lepas tu akupun belajar menaip dengan apak aku.

Masa aku kat STF apak aku tak pernah datang melawat kecuali masa nak jemput aku balik lepas SPM. Tapi masa aku tunggu keputusan SRP, dia pernah cabar aku. Dia kata kalau aku dapat semua A1, nanti dia nak hadiahkan komputer. Bila result dah keluar, alhamdulillah memang semua subjek aku dapat A1, tapi apak senyap je. Sampai habis tingkatan 4 pun dia senyap jugak. Jadi bila aku dah balik rumah lepas SPM, akupun cubalah ingatkan dia pasal cabaran dia tu. Tiga hari tiga malam jugak apak cuba nak mengingatkan betulke dia pernah bagi cabaran macam tu. Lepas dah ingat balik, maka apak dan kawannya pun membawa aku ke kedai komputer terdekat masa tu di Mentakab untuk membeli sebuah komputer peribadi.

Oleh kerana zaman tu Windows tak menapak lagi di Malaysia, maka aku menggunakan PC yang berasaskan DOS sahaja. Mouse pun tak ada, maka terpaksalah aku menghafal semua short-cut key yang ada.

Setelah membuang masa beberapa bulan di kampung selepas SPM, aku pun melanjutkan pelajaran ke UPM. Semasa bulan pertama di kampus, memang siksa sebab kolej kediaman dengan Fakulti Kejuruteraan tu rupanya jauh ya rabbi. Kalau ada kelas pukul 8, pukul 7.30 dah kena mula menapak dari kolej. Kalau ada subjek ladang pulak, lagi haru. Ladang mula pukul 2 petang, lepas solat Zuhur dah kena keluar, singgah kat stor ladang untuk ambil cangkul, cakar, penggali dan sebagainya. Lepas tu kena jalan kaki lagi 20 minit untuk sampai ke batas tanaman masing-masing.

Oleh kerana akupun tak larat nak menunjuk macho, maka satu hari aku telefon apak. Hajat di hati aku nak cuba mintak sesuatu yang aku pernah minta sepuluh tahun sebelumnya sebab kali ini aku ada alasan yang lebih kukuh. Masa telefon apak, aku cakap pelan-pelan nak mintak basikal sebijik. Kalau boleh mountain bike lah, sebab aku nak kena pegi kuliah dan ladang. Masa tu apak macam sporting je bunyinya, dia sangat memahami kesukaran aku hendak bergerak sekitar kampus. Selang seminggu kemudian, tiba-tiba abang aku datang menghantar sebuah motor kapchai baru kepada aku. Wow! Akupun buat-buat terkejut besar depan kawan-kawan. Aku dah agak dah, apak takkan belikan aku basikal punya. Perempuan rebellious yang suka bersosial memang tak sesuai bawak basikal, kan?

Sebenarnya ada banyak lagi kisah-kisah kenangan dengan apak aku yang aku masih ingat, tapi tak larat nak tulis di sini. Kalau aku tulis, 15 hari 15 malam korang kena baca. Entri tahun ni banyak yang berkaitan dengan material sahaja supaya korang dapat membayangkan betapa materialistiknya aku ni.... hihihi. Kenangan yang lain tu aku simpan untuk tahun depan - lebih ilmiah dan penuh unsur-unsur keinsafan mungkin.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh apak aku. Al Fatihah.

1 comment:

noli said...

bestla citer kak dayang. abis tu kenapa boleh dapat Mummy? Apak dan Mummy sesuatu sangat tau..heheh