Adv

Showing posts with label Writing. Show all posts
Showing posts with label Writing. Show all posts

Thursday, May 28, 2020

COVID-19, MCO, life and the new normal

My family went for umrah and came back about 2 weeks before MCO started in Malaysia. Panic buying started a few days before the announcement. I went to the nearest grocery and bought some meat, chicken, vege and rice. I was thinking, ok we can still go out to get our essentials after this. Don't have to worry so much.
When MCO really started I realized that I didn't want to go out at all. So I stayed at home from 18th March - 14th May 2020. That was even longer than my confinement after child birth. Usually my husband or my eldest son would go out to do groceries and buy other essentials.
Before Ramadhan started, I was cooking 3-4 times daily and during Ramadhan I cooked once for iftar and sahur.
Aidilfitri came and went so smoothly. I didn't cook much for raya this year, only instant nasi himpit, rendang daging and ayam masak merah. We were only allowed to visit close relatives on the first day of Syawal and not allowed to travel cross state. So, I didn't get to see my family in Pahang this year. Hopefully things will get better in July so that we can go back for Aidil Adha.
As I'm writing this, we are in the CMCO (Conditional Movement Control Order) phase in Malaysia. Many businesses have started operating, the government is re-opening the economy. However, schools and universities are still closed. My kids are doing e-learning at home. My 2nd son is waiting for his UPU application result, so we have no idea whether he will start his foundation soon or not. New university intakes will have its challenges. Other uni students will continue with e-learning until December 2020.
The saddest part is there's still no news when gyms will re-open. I need to be at the gym to really work out. When I'm at home, I tend to spend more time in the kitchen, and then in front of the TV or my laptop. Getting myself to do some exercise during MCO is such a huge challenge. I need a trainer/instructor to scream at me every few minutes, otherwise I'll just sit around and sip coffee.
So, after 9 weeks of staying at home I finally decided that I should write. I went through some of my old folders transferred from another laptop and found a few chapters of a manuscript that I didn't remember writing. That's funny because I'd usually remember things that I created. So, I just copy pasted the content onto wattpad and continued with the story. Loop holes everywhere but I hope there'll be a decent story. Well, at least I'll feel good when I come up with something during this MCO.
Follow this link if you'd like to read it. The title is MIMPI.  Enjoy!

Wednesday, November 30, 2016

NaNoWriMo2016 : Ada Apa Dengan Saleha?

Bismillahirrahmanirrahim,
apa khabar semua orang-orang di Blogosphere? Wujud ke lagi Blogosphere ni? Semua dah terjun lubuk media sosial, kan?
Ini ialah entry wajib setiap menjelang hujung tahun iaitu update tentang penyertaan saya dalam NaNoWriMo. Tahun ni sebenarnya tak rajin sangat pun nak participate tapi tiba-tiba ada orang bagi ilham dan peluang nak menulis, maka sayapun tulislah. 
Kali ini cerita asal adalah daripada karyawan lain, saya sekadar buat olahan dan ceritakan dengan lebih terperinci. Plot utama dah ditentukan semasa sesi brainstorming yang kami buat di sebuah kedai kopi yang jual pastry sedap di Paradigm Mall pada bulan Oktober haritu. 
Seronok juga mengembangkan cerita berdasarkan ilham orang lain ni. Ye lah, sekurang-kurangnya, takdelah kita syok sendiri berlebih-lebihan, kan? Bila rasa macam dah terlebih hanyut tu, tengok balik nota-nota masa brainstorming dulu, dan kembali ke landasan asal. 
Setiap kali menulis saya akan letakkan project code name (heh! mentang-mentanglah dulu selalu buat IT projects, semua projek pun nak kena bagi kod!) Projek NaNoWriMo2016 ni saya beri code name: Ada Apa Dengan Saleha? 
So, spoiler pertama ialah ada watak nama Saleha. Tapi, ada juga orang yang tanya Saleha tu nama orang ke, nama komputer? Hahahaha! Ni mesti sebab pernah baca Di Sebalik DINARA agaknya. DINARA tu lain, dek non! DINARA tu memang nama computer system, itu pasallah semua capital letters nama dia.
Saleha ni lain. Saleha ni perempuan. Dia ni macam kita semua - perempuan kompleks yang nak macam-macam dalam dunia. 
Eh, taknaklah kasi spoiler banyak-banyak. Korang tunggulah bila novel ni keluar nanti. InsyaAllah tahun depan. Tarikhnya tak pasti lagi. 
Bila keluar novel nanti, korang belilah, ya? Kasihanilah penulis kecil-kecilan seperti saya ini. Dahlah harga minyak dunia tak stabil, kan? Ringgit Malaysia pun jatuh teruk, boleh bankrap nak bayar Zumba subscription every month dalam dolar Amerika tu. Sobs!
So, nantikan kisah Saleha, ok? Tajuk sebenar novel ni sayapun tak tahu lagi. Hehe.




Tuesday, December 15, 2015

Ada apa dengan Cikgu Asyraf?

Assalamualaikum you all!

Ramai sungguhlah yang bertanya tentang sambungan SAMARlah, buku terbarulah, cerpen terbarulah (nasib baik tak ada yang tanya bila nak tulis puisi, kan?) Selama ni jawapannya hanyalah "Tungguuu.... dan harap bersabar".
Agaknya ramai juga dah pembaca yang kecewa dok menunggu lama sangat. Okey.... okey... jangan merajuk, ok.
Dengan izin Allah, sebuah cerita panjang (CERPAN) saya telah menemui pembaca pada 5/12/2015. Dilancarkan di Big Bad Wolf bertempat di MIECC, The Mines.
Ini CERPAN ya, bukan novel. Jadi memang kena tulis dengan padat. Seboleh-bolehnya tak ada filler. Harap-harap jalan cerita tu jelaslah. Mungkin ada terkurang explain dekat beberapa bahagian. Iyalah, first time belajar tulis CERPAN, nasib baik tak jadi cipan. ;)

Dua CERPAN dalam satu buku. Tajuk buku ni II (DUA)

Dalam buku ni terdapat dua CERPAN. Cerita saya berjudul Cikgu Asyraf manakala cerita yang ditulis oleh Shaz Johar pula bertajuk Lelaki Sesuatu Itu. Okey, ada kawan kat gym tanya kenapa tajuk cerita tu bukan Lelaki Itu Sesuatu. Hehe. Sesuatu sangat soalan kawan gym aku tu. Nantilah, kena tanya Shaz sendiri kenapa pilih tajuk tu.
Cerita Cikgu Asyraf ni sebenarnya lebih kurang macam kisah 'neighbour from hell' lah lebih kurang. Kisah ni berlaku di sebuah kampung yang fictitious (harap jangan cari dalam Google Map). Sungguhpun ini CERPAN, terdapat banyak juga character. Iyalah, dah terbiasa tulis novel, mesti nak ada ramai-ramai watak dalam tu, barulah meriah.
Seperti biasa, macam dalam cerita-cerita saya yang lain, ramai juga watak tu yang jadi mangsa bunuh. (Ada kawan kat gym suruh aku berhenti tulis cerita bunuh orang, sebaliknya tolonglah tulis kisah cinta. Uweeeeek!!)
Gila kau aku nak tulis cerita cinta?
Buku ini ialah edisi terhad, maka hanya 3,000 naskhah saja yang dicetak. Bermakna, mungkin kurang daripada 3,000 pembaca yang berjaya memilikinya. Tapi, jangan bimbang, kedua-dua CERPAN ini akan disiarkan di wattpad pada bulan Januari tahun 2016. Kepada yang lebih berminat membaca di skrin komputer/tablet/smartphone, bolehlah buka akaun di wattpad dan cari FIXI, okey? Kalau dah siar kat wattpad tu, of course lah free, kan?
Maka dengan itu, bergembiralah anda semua. Hehe. Nasib baik ada juga buah tangan untuk tahun 2015 ni. ;) Harap-harap tahun 2016 nanti lebih produktif menulis, Insya Allah....


Saturday, May 09, 2015

Di Kaki Lima (Cerpen) - Bahagian 4 (Akhir)

Pakcik Abbas, Makcik Hajar, Makcik Salmiah, Pakcik Rauf dan rakan-rakan yang lain asalnya menetap di sebuah rumah orang tua kira-kira 20km dari sini. Pemilik rumah itu baru meninggal dan anaknya ambil alih. Malangnya, anaknya telah mengabaikan pengurusan di situ dan menyerahkan bulat-bulat kepada para pekerja yang sudah tiada motivasi untuk bekerja. Sudahnya, ramai pekerja yang berhenti dan lari.

Satu hari pemilik rumah itu memindahkan mereka ke rumah ini. Katanya rumah ini disewa sementara rumah asal diubahsuai. Para penghuni di sini diminta uruskan hal masing-masing. Yang sihat terpaksa membantu – termasuklah memandikan, menukar lampin, menukarkan baju dan memberi makan mereka yang uzur.

Pada mulanya mereka dibekalkan sedikit wang. Tapi itu hanya pada dua minggu pertama. Mulai minggu ketiga, pemilik langsung tidak muncul, meninggalkan mereka terkontang-kanting dalam keadaan serba daif.

Akibat terdesak, Pakcik Abbas menawarkan diri untuk menebalkan muka dan mengemis di seberang jalan – di kaki lima pejabat kami.

“Masa muda-muda dulu – masa dia masih boleh nampak - Abbas ni kerja menulis,” kata Makcik Hajar dengan bibir terjuih ke arah Pakcik Abbas.

“Pemuisi lah, bukan penulis!” Pakcik Rauf mencelah.

Aku lihat Pakcik Abbas sekadar tersenyum. “Alah, pernah tulis sikit-sikit je,” dia merendah diri.

“Tapi banyak kali keluar surat khabar, keluar majalah,” kata Makcik Hajar penuh bangga.

“Alah, cerita lama. Tak usahlah diheboh-hebohkan sangat.” Pakcik Abbas seolah-olah kurang selesa untuk menceritakan kisah lampau. Mungkin ada terselit kenangan pahit yang cuba dilupa.

“Abbas ni pandai bercakap, sebab tu dia berani duduk dekat kaki lima tu,” tambah Pakcik Rauf pula.

“Kaupun pandai bercakap, Rauf. Minggu depan kau pulak duduk situ, ya?” Makcik Hajar macam nak mencabar tapi hanya dibalas dengan ketawa panjang Pakcik Rauf.

“Kalau aku duduk situ, ramailah anak dara yang tak senang duduk. Tak boleh buat kerja dia orang nanti, Hajar oi!” Pakcik Rauf berseloroh.

Makcik Hajar mencuit pahaku. “Ha, yang itu masa muda-muda dulu, buaya darat. Sampai tua perangai tak berubah.”

Mendengarkan gelak tawa Pakcik Rauf dan perbualan kami, beberapa lelaki tua yang tadi tidur langsung terjaga. Makcik Hajar memperkenalkan aku kepada mereka. Wanita-wanita tua yang tadi sibuk dengan kerja masing-masing datang bersila berhampiran kami.

Aku berkenalan dan berbual-bual sebentar dengan mereka sebelum Makcik Salmiah kembali bersama beberapa bungkusan nasi, lauk dan sayur. Aku minta diri tapi ditegah oleh Pakcik Abbas.

“Makanlah sekali dengan kami. Dah lama tak dengar suara orang muda kat sini,” katanya.

“Ha’ah! Segar tulang aku tengok ada perempuan muda. Kalau tak, asyik nengok muka-muka kedut ni semua,” Pakcik Rauf masih belum habis guraunya. Makcik Salmiah menampar bahu Pakcik Rauf sebelum Makcik Hajar mencubit betisnya. Aku ketawa melihat gelagat mereka. Untuk tidak menghampakan Pakcik Abbas, aku jamah sedikit makanan yang dihidang. Rasa simpati mula bercampur aduk dengan rasa terhibur pula dengan keletah mereka.

Esoknya hari Sabtu. Sejak pagi, aku menggelisah di rumah. Aku tak sabar menanti  Isnin, langsung aku telefon Hasya dan ceritakan apa yang terjadi semalam.

“Kita kena bincang dengan Haji Basri. Mana tahu kalau-kalau dia nak sponsor mereka semua,” cadang Hasya, membuatkan aku terfikir.

“Itu boleh kira macam CSR, kan? Corporate Social Responsibility. Syarikat memang ada allocation untuk tu, kan?” Terasa seolah-olah sebiji mentol baru saja menyala dan menerangi ruang minda aku yang selama ini gelap dan sempit memikir masalah Pakcik Abbas.

“Haji Basri masuk Isnin. Sempat lagi kalau kau nak prepare proposal.” Aku tahu Hasya sedang tersenyum simpul di hujung talian. Seperti biasa, apa-apa yang berkait dengan kertas cadangan akan diserah padaku. “Marketing manager mesti expert pasal ni, kan?” Pujuk Hasya lagi.

“Tapi kau kena tolong juga.” Kemudian aku ingatkan dialah orang pertama yang bersedekah kepada Pakcik Abbas. Dia yang mulakan.

“Okey… okey… Pagi-pagi esok aku datang rumah kau,” dia mengalah. Aku tersenyum lebar.

Sepanjang Ahad kami bertungkus-lumus menyiapkan kertas cadangan untuk projek membantu Pakcik Abbas dan rakan-rakan. Cadangan sepanjang dua puluh mukasurat itu akhirnya siap pada jam 11 malam. Hasya dan aku terlentok di ruang tamu. TV terpasang menonton kami yang terlena akibat keletihan.

Aku tak sedar bila Hasya balik. Bila aku buka mata, azan subuh berkumandang. Cepat-cepat aku bangun dan bersiap-siap untuk ke pejabat. Sepanjang perjalanan, perbincangan aku dan Hasya semalam berputar-putar dalam fikiran. Rancangan dan penerangan kami sudah tersusun kemas dalam kertas cadangan. Aku terus merangka-rangka dalam kepala bagaimana hendak membuka perbincangan dengan Haji Basri kelak.

Sampai di depan pejabat, aku terkaku sebentar. Pakcik Abbas tiada di tempat biasa. Surat khabar yang biasa dibuat alas masih di situ, ditindih dengan bata kecil. Aku keluar dari kereta dan lihat sekeliling. Mataku terus bertumpu pada blok kedai di mana Pakcik Abbas dan rakan-rakannya tinggal. Tingkap rumah kedai di tingkat tiga semuanya bertutup rapat. Tiada kain atau baju bersidaian.

Sudah jam 8.15. Aku tak punya banyak masa untuk menyeberang jalan dan pergi ke rumah kedai itu. Dengan berat hati, aku masuk ke pejabat dan wajah Haji Basri dan beberapa yang lain menyambutku dengan girang. Sebuah meja panjang yang dipenuhi aneka juadah sarapan pagi sedang menanti. Haji Basri belanja semua pekerja sempena kepulangannya dari bercuti.

“Mana proposal?” Tanya Hasya sebaik aku menuang kopi. “Kita boleh jumpa Haji Basri sekarang. Mood dia tengah elok tu.”

Aku tarik Hasya ke satu sudut, jauh dari kelompok rakan-rakan yang sedang bergelak ketawa. “Pakcik Abbas tak ada pagi ni. Tingkap di rumah kedai tu pun semua tutup. Lengang, macam dah tak ada orang,” aku bisik ke telinganya.

“Habis, kita nak jumpa Haji Basri ke tak?”

“Lepas lunch, boleh? Sempatlah aku nak pergi check rumah tu tengah hari nanti.”

Hasya setuju. Kami kembali ke kelompok rakan-rakan yang sedang enak menjamah juadah.

“Karipap banyak ni-“ Khairuddin mengunjukkan sepinggan karipap padaku. “-bungkuslah untuk Pakcik Abbas kau,” sindirnya. Aku hanya menghela nafas panjang untuk mengepung kemarahan. Aku tak mahu jawab apa-apa. Sebarang jawapan, hanya bakal mengundang sindiran yang lebih menyakitkan hati.

Hari terus berlalu dengan lambat sekali. Selang sepuluh minit aku mengerling jam. Lambatnya nak tengah hari. Aku tinjau-tinjau juga Hasya yang duduk tidak jauh dari bilikku. Diapun tampak gelisah.

Tepat 12.30 tengah hari aku dan Hasya menyeberangi jalan, menuju ke rumah kedai yang dihuni Pakcik Abbas dan rakan-rakan. Debar di dada buatkan aku sedikit semput ketika mendaki tangga. Hasya berlari-lari melangkah anak tangga dengan kasut tumit tinggi. Aku tertinggal sedikit di belakang.

Kami disambut oleh pintu berkunci dan jeriji yang terdapat mangga sebesar buku penumbuk. Tiada sebarang notis ditampal di pintu. Aku dan Hasya saling berpandangan.

“Macam mana ni?” Tanya Hasya. Aku hanya mampu angkat bahu. Masih terngiang-ngiang suara Pakcik Abbas, Makcik Salmiah, Makcik Hajar, Pakcik Rauf dan rakan-rakan yang berbual mesra melayanku beberapa malam lalu. Kini yang tinggal hanya sunyi dan pintu yang berkunci.

Pintu rumah sebelah terbuka dan terjengul wajah seorang lelaki cina dengan leher berat digayut rantai emas. Aku ingat. Dia lelaki yang menuntun Pakcik Abbas melintasi jalan pada petang Jumaat. Dia memandang kami sedikit kehairanan.

“Hello! Cari siapa?” Dia bertanya.

“Tahu tak mana pergi orang yang duduk rumah ni?”

Lelaki itu menggaru-garu kepala. “Tak bayar sewa pada owner. Sudah kena angkat lori, wo!”

“Lori?” Serentak aku dan Hasya bertanya.

“Itu, kebajikan punya orang datang sini hari Sabtu. Sudah angkat semua naik.... aiyya… naik van lah, bukan lori. Sori… sori….” Lelaki itu tersengih-sengih.

“Tau tak dia orang bawak pergi mana?” Aku sudah tersandar kehampaan di dinding.

“Tak tau, woo. Tapi baguslah, kebajikan ambil pergi. Duduk sini tak ada orang jaga, woo. Kesian tengok.”

“You ada mintak contact number diorang tak?” Tanya Hasya pula.

Lelaki cina menggeleng. “Tak ada, lor. Sayapun terlupa.” Dia menepuk dahi.

“Tak apa – “ Aku angkat tangan padanya. “- Jabatan Kebajikan dah datang, mesti dia orang uruskan semua.”

Lelaki itu minta diri kerana dia perlu ke tandas. Aku dan Hasya duduk di tangga – buntu.

“Tak jadilah rancangan kita,”katanya.

“Hmm… Allah sentiasa ada rancangan yang lebih baik.”

“Ya, aku rasa ini lebih baik daripada Pak Abbas terus mengemis, ataupun mereka duduk di sini dengan bantuan syarikat kita, kan?” Hasya menguak rambutnya yang menutup dahi.

“Entahlah, Hasya. Akupun tak boleh nak agak. Mungkin ini lebih baik, mungkin ada masalah lain pulak nanti. Kita tengok ajelah.”

“Buat masa ni, ini aje yang terbaik, kot?”

“Harap-harap macam tu lah.”

Kami duduk di situ hingga habis waktu makan tengah hari. Bila kami bangun untuk kembali ke pejabat, Hasya cuit lengan aku.

“Eh, nanti kesian Lenny. Tak ada orang nak puji dia pagi-pagi.”

Aku terus terlopong dengan mata terbeliak. Kedua-dua tanganku di bahu Hasya. Oh no! Nanti akulah yang jadi mangsa dengar dia membebel!”

“Nasib kau lah, Dura.”

Kami ketawa serentak. Dinding rumah kedai melantunkan suara kami lalu tawa jadi bergaung. Suasana seolah-olah meriah, walaupun pada hakikatnya ada air jernih bertakung di kelopak mata. Di bawah bahang matahari, aku dan Hasya melangkah longlai kembali ke pejabat.


Friday, May 08, 2015

Di Kaki Lima (Cerpen) - Bahagian 3

Di ruang tamu, ada lapan lelaki tua berbaring di atas tilam nipis tidak beralas. Beberapa orang wanita lebih kurang sebaya Pakcik Abbas sedang melipat baju dan mengemas meja makan. Lelaki-lelaki yang terbaring kelihatan tidak begitu sihat dan ada yang terlalu kurus. Tingkap rumah itu ditabiri oleh baju dan kain yang bergantungan.

“Pakcik Abbas. Ni, saya datang.” Aku menghampirinya yang bersandar di dinding sambil salah seorang wanita mula memicit-micit kakinya.

“Eh?” Pakcik Abbas terkejut langsung duduk tegak. “Anak ni yang selalu bagi pakcik karipap tu, kan?” Dia memberi isyarat agar wanita tadi berhenti mengurut.

“Betul, pakcik. Saya ikut pakcik balik tadi.” Aku duduk di hadapannya. “Sorry. Saya tak tahu pakcik tinggal dengan kawan-kawan.” Sebenarnya aku tak tahu apa yang patut aku kata. Timbul juga rasa bersalah kerana mengekornya sampai ke mari. Aku sudah menceroboh ruang privasi mereka.

“Abbas!” Teriak salah seorang lelaki tua yang terbaring dengan mata terpejam. “Kau dah balik? Dah beli makanan ke?” Tanyanya lagi.
“Kejap lagi Salmiah nak pergi beli,” jawab wanita yang membuka pintu tadi.

Pakcik Abbas mengeluarkan segulung duit kertas – kebanyakannya not seringgit - dari kocek baju dan menghulurkan kepada wanita yang mengurutnya tadi. Itu Salmiah agaknya. Melihatkan ubannya dan tangannya yang menggeletar, aku wajar memanggilnya Makcik Salmiah.

Makcik Salmiah bangun, capai selendang dan menghampiri wanita tua di tepi pintu. “Beli lauk biasa ke, Hajar?”

“Belilah lebih sikit, kita ada tetamu ni,” bisik Makcik Hajar sambil mengerling ke arah aku.

“Eh, tak apa makcik. Saya dah makan,” aku berbohong walaupun perut sudah mula pedih.

“Kalau tak habis nanti, makcik boleh habiskan.” Makcik Salmiah ketawa menampakkan gusi yang hanya dihiasi lima, enam batang gigi. Aku hanya balas dengan senyuman.

“Akupun boleh tolong habiskan. Ayam goreng jangan lupa, ya?” Lelaki tua yang terbaring tadi bersuara lagi.

“Banyak cakaplah kau ni Rauf. Suruh pergi kedai tak mau,” rungut Makcik Hajar sebelum menutup pintu. Kedengaran bunyi selipar Makcik Salmiah perlahan-lahan menuruni tangga.

Makcik Hajar menghampiri aku dan Pakcik Abbas. “Kat mana kenal dengan Pakcik Abbas, nak?” Dia tanya aku.

“Aku mengemis depan ofis dia,” Pakcik Abbas yang tolong jawabkan. Aku tak sampai hati nak panggil Pakcik Abbas pengemis.

“Oh! Kamu dengan kawan-kawan kamu dah banyak tolong kami, nak. Siapa nama tadi?” Soal Makcik Hajar.

“Adura, makcik. Boleh panggil saya Dura.” Aku dah Makcik Hajar bersalaman.

“Kami kat sini dah lebih dua bulan, Dura. Tak ada sesiapa datang tolong. Nasib baiklah dapat sikit-sikit duit bila Abbas pergi mengemis.” Makcik Hajar menepuk bahu Pakcik Abbas yang sekadar tertunduk membiarkannya bercerita.

“Macam mana boleh jadi macam ni, makcik?” Tanyaku. Soalan itu telah menjadi kunci yang membuka suatu kisah panjang yang selama ini kami hanya mampu teka-teka di pejabat.

.......... bersambung

Thursday, May 07, 2015

Di Kaki Lima (Cerpen) - Bahagian 2

Tengah hari itu, ketika keluar makan tengah hari, pengemis tua itu masih bersila di kaki lima. Hasya tanya aku bila waktu sesuai untuk minta dia beredar. Aku kata, tunggu dulu, biarlah dia di situ hari ini. Esok lusa pasti dia cari tempat lain. Lagipun kaki lima pejabat kami agak sunyi. Tak ramai pengunjung. Di kiri kanan pejabat pun bukanlah kedai yang sesak: ada sebuah bengkel motor, sebuah studio fotografi dan dua lot kedai yang digabungkan jadi klinik haiwan. Sukar untuk pengemis dapat pendapatan lumayan di sini. Bila tak banyak pendapatan, pasti dia berpindah ke tempat lain. Hasya setuju. Dia pun tak sampai hati nak mengusir lelaki tua itu.

Sangkaan kami meleset. Hari-hari berikutnya pengemis tua itu masih ada bersila di kaki lima. Dia datang sebelum kami semua sampai dan dia masih bersila di situ selepas kami semua pulang. Aku dan Hasya tidak berbincang tentangnya kerana kami sama-sama mahu tunggu dan lihat.

Lenny makin gembira. Setiap pagi ada saja pujian yang diberikan lelaki tua itu yang buat dia ceria. “Tiap-tiap pagi aku hulur seringgit. Lepas tu, mesti pakcik tu kata aku cantiklah, wangilah, bersopan-santunlah. Seronok betul,” kata Lenny bila aku singgah di mejanya.

Aku terdiam tapi hati aku berkata-kata, ‘Zaman ni semua dah boleh dibeli: cinta, kasih sayang, persahabatan.’ Siapa sangka dengan hanya bermodalkan seringgit setiap pagi, Lenny dapat beli rasa bahagia.

“Haji Basri cuti lama lagi. Biarlah pakcik tu mengemis kat situ. Orang lain pun tak ada yang bising pasal dia,” kata Hasya. Aku bersetuju. Rakan-rakan sepejabat yang lain makin rajin bersedekah padanya. Aku dan Hasya tidak terkecuali. Mulanya sekadar seringgit dua, tapi kelmarin aku hulur tiga ringgit dan dua butir karipap.

“Pakcik memang dah lama tak makan karipap, nak,” kata pakcik tua itu penuh sayu. Aku nampak air mata bergenang. Aku hulur juga setin air soya yang aku dah masukkan penyedut siap-siap. Dia sedut perlahan-lahan berselang-seli dengan menggigit karipap daging. “Jari anak ni runcing, mesti pandai buat kelim karipap.”

Aku hanya ketawa kecil sebab aku langsung tak tahu buat karipap. Pakcik tua itu – menurut Lenny namanya Abbas – terus makan dengan berselera dan aku berdiri di tepi memerhatikannya.

Setelah aku bersedekah kuih dan minuman, Hasya pula rasa terpanggil untuk belikan Pakcik Abbas makan tengah hari. Tak lama kemudian Lenny juga turut serta. Dia belikan Pakcik Abbas kuih muih dan teh tarik untuk minum petang. Lama kelamaan, kami semua rasa bertanggungjawab atas kebajikan Pakcik Abbas setiap hari. Isu tentang membersih dan mengosongkan kaki lima langsung tidak disebut oleh Hasya mahupun aku. Sehinggalah satu pagi bila Khairuddin, si akauntan syarikat tiba-tiba buka mulut.

“Jangan bagi muka sangatlah dekat pakcik yang minta sedekah tu.” Air muka Khairuddin keruh bila terserempak dengan aku di pantri. Aku sekadar angkat bahu. Aku tahu dia tak pernah menghulur walau seringgit kepada Pakcik Abbas. Malah dia satu-satunya pekerja di syarikat ini yang langsung tak ambil pusing tentang lelaki tua itu. “Mesti sindiket yang letak dia dekat situ. Cuba kau tengok, pagi-pagi dia dah datang, dah lewat malam pun belum balik-balik. Mesti ada kereta atau van yang jemput hantar.”

Khairuddin sentiasa kaya dengan teori konspirasi. Ketika negara berhadapan dengan pencerobohan di Lahad Datu, dia ada teori  tersendiri – bukan sekadar melibatkan projek IC, malah lebih lagi. Ketika peristiwa pengeboman di larian maraton Boston, dia sudah ada teori sebelum saspek ditahan. Begitu juga ketika Pope Benedict XVI melepaskan jawatannya; Khairuddinlah orang pertama yang mengumpul segala bahan untuk menyokong teorinya tentang masalah seksualiti.
“Kalau ikhlas, sedekahlah sikit dekat Pakcik Abbas. Kalau ada syak wasangka, buat-buat tak nampak aje dia kat situ, boleh?” Pintaku, tak mempedulikan matanya yang mula terjegil.

“Bodohlah kamu semua ni. Bila Haji Basri balik dari Europe nanti, mesti dia mengamuk.” Khairuddin berpeluk tubuh di depanku mempamer keangkuhan.
Aku buat-buat tak dengar dan tinggalkan Khairuddin dengan ego besarnya di pantri. Aku tutup pintu bilik dan duduk berfikir di meja. Bila diingat-ingatkan, ada betulnya juga kata-kata Khairuddin tadi. Haji Basri akan kembali ke pejabat minggu depan. Apa akan jadi kepada Pakcik Abbas kelak?

Petang itu aku tak pulang awal seperti biasa. Kebetulan minggu ini giliran aku pegang kunci pejabat. Jam 7 malam pejabat sudah lengang. Tinggal aku seorang. Aku jenguk ke luar dan lihat Pakcik Abbas bersandar di dinding, terlena agaknya. Aku masuk semula untuk menyudahkan beberapa lagi kerja yang perlu beres sebelum kepulangan Haji Basri.

Sekitar 9 malam, mataku sudah terlalu letih untuk terus membaca beberapa dokumen yang perlu direbiu. Aku kemas beg, tutup lampu dan kemudian kunci pintu dan roller shutter dari luar. Ketika itu juga Pakcik Abbas melipat surat khabar yang dibuatnya alas. Seorang lelaki Cina bersubang dan berantai emas membantunya bangun dan kemudian menuntunnya sehingga ke lampu isyarat. Aku cepat-cepat mengekori.

Lelaki itu terus membawanya melintas jalan ke blok kedai bertentangan. Aku berlari-lari anak tidak jauh di belakang mereka sambil menjinjing beg tangan dan beg komputer aku galas. Di hadapan sebuah kedai nombor ekor, lelaki yang memimpin Pakcik Abbas tadi meninggalkannya. Pakcik Abbas berdiri sebentar sebelum seorang remaja ber T-shirt senteng dan jeans ketat menghampirinya. Mereka berbual seketika sebelum remaja itu menuntun Pakcik Abbas menuju ke hujung blok. Aku perlahankan langkah kerana jarak kami kian hampir.

Di hujung blok kelihatan seorang wanita tua, berbaju kurung kuning dengan selendang putih berdiri dengan senyum terukir. Remaja tadi membawa Pakcik Abbas kepadanya. Aku terhenti di depan kedai lampu. Sungguhpun mataku sedikit silau dipanah cahaya daripada lampu-lampu yang terpamer, fokusku tidak beralih. Aku memerhati perempuan tua itu memimpin Pakcik Abbas berjalan beberapa meter sebelum mereka naik tangga menuju rumah kedai di tingkat atas. 

Aku turut serta tetapi cuba menjarakkan diri beberapa meter di belakang mereka.
Rumah yang dituju terletak di tingkat 3. Wanita tua itu memberi salam dan pintu pun terkuak. Mereka menanggalkan selipar langsung masuk. Di luar pintu aku lihat ada berpuluh-puluh pasang selipar yang bersepahan. Aku mula tertanya-tanya, mungkinkah teori Khairuddin betul? Entah-entah ini asrama yang disediakan sindiket. Pergerakan Pakcik Abbas tadi tampak begitu terancang.

Beberapa minit aku terdiam, berfikir di tepi tangga, menimbangkan patutkah aku masuk dan lihat. Mungkin itu saja jalannya aku boleh tahu sama ada Pak Abbas pengemis sebenar atau sekadar diperalat sindiket. Bagaimana kalau tempat ini milik sindiket dan ada bouncer di dalam? Aku turun dua, tiga mata tangga bila terfikir tentang itu.

Tapi, kalau aku tak masuk, aku takkan tahu kebenaran.

Kaki terus melangkah, mendahului fikiran dan hatiku. Pintu diketuk tiga kali disertakan dengan salam yang agak perlahan. Aku terdengar beberapa suara berbual-bual di dalam. Beberapa saat kemudian, pintu dibuka oleh wanita tua yang memimpin Pakcik Abbas tadi.

“Waalaikumsalam. Cik cari siapa?” Soalnya, mata meliar ke sekitar tangga, ingin tahu siapa lagi turut bersamaku.

“Boleh saya jumpa dengan Pakcik Abbas?”

Wanita itu menoleh ke dalam sebentar sebelum membuka pintu lebih luas. “Jemputlah masuk, Abbas tengah berehat. Penat tu. Baru balik.”

Sebaik melangkah masuk, pemandangan yang menantiku bukanlah sesuatu yang sejak tadi terlintas di kepala. Tiada bouncer, tiada ketua sindiket, tiada pengawal-pengawal. Jauh sekali apa yang disyaki oleh Khairuddin selama ini.

....................... bersambung

Wednesday, May 06, 2015

Di Kaki Lima (Cerpen)


Tak pernah ada pengemis di kawasan pejabat aku ni. Dalam jangkamasa lima tahun – selama aku bekerja di sini – memang tak ada. Sebenarnya, usahkan pengemis, penjual DVD cetak rompak pun tak pernah cuba-cuba berniaga di kaki lima ini. Jika penjual DVD cetak rompak tak ada, makcik-makcik penjual kerepek dan tukang kasut jalanan juga tak berani nak cuba nasib.

Mereka semua takut dengan Haji Basri, tuan punya syarikat tempat aku bekerja. Orangnya tegas – cukup benci dengan lanun cetak rompak. Sedangkan bila bertemu penjual DVD cetak rompak di kedai makan pun, dia akan soal siasat – Kenapa buat kerja haram? Kenapa rompak rezeki orang lain? Kenapa tak usaha hasilkan produk sendiri? Mungkin di kalangan para penjual DVD cetak rompak di kawasan sini nama Haji Basri sudah terkenal dan cukup digeruni. Dan mungkin kerana itu juga kaki lima di luar pejabat kami tak pernah ada peniaga yang berani jejak kaki. Bersih, suci – macam anak dara yang tak pernah disentuh.
Hinggalah pagi ini.

Aku orang pertama tiba di pejabat sekitar 7.50 pagi. Sebaik turun dari kereta aku terus terlihat seorang pengemis bersila di kaki lima, sepuluh kaki dari pintu pejabat. Perkara pertama terlintas di fikiran adalah, mesti dia baru di kawasan ini. Kalau tidak, masakan dia tak tahu kaki lima pejabat ini kawasan larangan – ada undang-undang tidak bertulis yang semua orang sudah maklum. Atau mungkinkah pengemis ini dapat tahu bahawa Haji Basri sedang bercuti panjang?
Aku berdiri lama di tepi kereta, memerhati lelaki tua berbaju renyuk, bersongkok senget yang menadah sebuah mangkuk plastik yang serpih. Mulutnya terkumat-kamit, matanya terarah ke keretaku tetapi tidak menggambarkan sebarang riak. Buta agaknya.

Tak tahu apa yang patut dibuat, aku masuk semula ke dalam kereta, hidupkan enjin dan pasang muzik. Sambil itu mataku masih pada pengemis tua di kaki lima. Janggal pula melihat kehadirannya di situ, di tepi dinding pejabat kami yang gah, dihias penuh elegan. Sungguh tak kena.

Kesucian kaki lima pejabat aku sudah dinodai! Ibarat melihat seekor semut hitam yang tiba-tiba muncul di dalam segelas susu yang putih bersih.

Aku bukan kata yang semut itu hina bila dia terjun ke dalam susu ataupun susu sudah habis rosak dek kerana seekor semut. Tapi, situasinya lebih kurang sama. Orang yang dahaga pasti tak suka bila semut masuk ke dalam susunya. Mungkin dia percaya bila termakan semut, nanti otak jadi bebal. Tapi sanggupkah orang yang dahaga membuang segelas susu semata-mata kerana semut seekor? Atau orang yang dahaga akan buang saja sang semut dan teruskan meneguk susu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku?

Sama situasi aku sekarang. Adakah aku akan meminta pengemis itu beredar dan teruskan rutin seperti biasa? Atau satu hari nanti kami semua terpaksa cari tapak pejabat lain bila kaki lima ini sudah jadi tumpuan berpuluh-puluh pengemis?

Setiap sesuatu itu pasti ada mulanya. Dan kehadiran seorang pengemis tua di kaki lima pejabat kami ini mungkin permulaan kepada kedatangan pengemis-pengemis lain, makcik-makcik penjual kerepek, si tukang kasut jalanan dan pastinya penjaja DVD cetak rompak yang dibenci Haji Basri. Mereka semua akan jadi berani. Mereka tidak akan pedulikan Haji Basri lagi. Undang-undang tak bertulis itu akan dilanggar sewenang-wenangnya.

Sedang aku berdebat dengan diri sendiri, aku lihat Hasya, rakan sepejabat turun dari kereta dan berjalan ke arah pengemis yang bersila. Dia menghulurkan sekeping not seringgit dan disambut pengemis tua itu dengan mangkuk serpih. Hasya terus berlalu, tidak menoleh ke arahku. Mungkin dia tak tahu aku berada di sini memerhati apa yang dilakukannya.

Aku jadi sedikit marah. Kenapa Hasya buat begitu? Dia mahu menggalakkan peminta sedekah mengerumuni kaki lima ini? Hasya sudah menghilang, masuk ke pejabat dan aku cepat-cepat turun dari kereta. Sebelum ini berlarutan, aku perlu buat sesuatu. Hatiku nekad menghampiri pengemis tua tetapi dia tersenyum sebaik terdengar derap tapak kakiku.

“Assalamualaikum, nak. Apa khabar? InsyaAllah semuanya baik-baik hari ni.”
Langkah aku mati. Pengemis tua masih tersenyum. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Bila aku amat-amati, dia sedang berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

“Waalaikumsalam, pakcik. Alhamdulillah, semua okey,” aku menjawab dan tanpa sedar tanganku mengorek kocek luar beg tangan, mencari duit kecil yang selalu aku selit di situ. Dua helai not seringgit aku hulur kepadanya. Seperti menyambut duit Hasya tadi, dia hulur mangkuk putih yang serpih.

“Alhamdulillah. Semoga Allah permudahkan semua urusan anak hari ni. Sentiasa pandang ke depan, jangan mudah mengalah. ” Ucapannya membuat aku terkaget seketika. Itu tips atau motivasi pagi? Aku menatap wajahnya lagi. Matanya kosong, tidak memberi sebarang respon bila aku lambai-lambai di depannya. Aku benar-benar yakin dia buta.

“InsyaAllah, pakcik.” Aku berjalan masuk ke pejabat dan menoleh padanya dua kali.
Aku tercari-cari Hasya tapi tak kelihatan. Mungkin dia ke tandas. Aku terus masuk ke bilik dan letakkan beg tangan di tepi meja. Biasanya aku akan terus membancuh kopi panas di pantri tapi pagi ini aku terus terhenyak di kerusi dan memikirkan bagaimana untuk memberitahu lelaki tua tadi agar tidak mengemis di kaki lima kami lagi. Sementara itu aku masih keliru, mengapa aku hulurkan duit padanya tadi? Bukankah niat asalku mahu memberinya amaran dan pastikan dia beredar segera?

Morning!” Suara ceria Hasya mengejutkanku. “Jom breakfast? Aku terbeli kuih lebih tadi.” Seplastik karipap dijinjing lalu disua padaku. Aku beri isyarat agar dia makan di bilikku saja.

“Kau bagi sedekah dekat pengemis di luar tu tadi?” Tanyaku.

Hasya mengangguk lantas ekspresi wajahnya berubah. “Kenapa? Salah ke? Aku bagi seringgit je. Sebenarnya, aku tak cadang nak bagipun. Bila aku pergi dekat dia tadi, bila terdengar dia selawat, suara dia sedap. Sayu pulak rasanya.”

No. It’s okay. Akupun sedekah juga dekat dia tadi.”

Hasya hela nafas lega. Plastik karipap dibuka. Dia ambil seketul dan hulur kepadaku.

“Nanti teman aku jumpa dia?” Aku tahu aku tak mampu lakukan sendirian. “Kita kena beritahu dia kat situ tak boleh minta sedekah atau berniaga.”

“Kita kena halau dia?” Hasya tanya aku macam tak percaya. Aku hanya angguk.
Hasya kembali ke tempatnya dan aku mula membuka fail pertama yang perlu diuruskan. Sebaris ayatpun tak mampu aku cerna. Dokumen nipis yang aku cuba baca aku masukkan balik ke dalam fail. Kepalaku sarat dengan persoalan.

Ayat dan bahasa bagaimana yang aku nak guna bila bercakap dengannya nanti? Orang tua, hidup susah pula; takkanlah aku nak guna bahasa macam bercakap dengan kawan-kawan. Atau aku perlu berbahasa rasmi? Ber’saya-awak’ atau ber’saya-saudara’? Aku terus mereka-reka ayat dalam kepala. Bukan mudah rupanya untuk mengusir orang dengan bahasa dan cara terbaik.

Sedang aku merenung dinding, Lenny menyerbu masuk. Aku selalunya mengelak berjumpa dia pagi-pagi. Ada sesetengah perempuan, hobinya merungut tak kira masa, tentang semua perkara. Contohnya macam Lenny. Daripada hal komuter lambat, tumit kasut senget, jiran masak belacan, sepupu beli beg tangan mahal sampailah ke hal-hal di pejabat, ada saja rungutannya. Ayat kegemarannya: “Alaa! I bencilah!” Semua benda dia tak suka. Semua orang menyusahkan dia. Pendek kata, kalau aku berbual dengan dia pagi-pagi, sepanjang hari aku pula yang jadi murung. Banyak sangat cas-cas negatif di mana-mana ruang dia berada.

Guess what, babe!” Lenny datang dengan muka ceria. Dahiku berkerut. Lenny dengan muka gembira di pagi hari adalah kombinasi yang tak pernah wujud.

“Apa dia?” Aku tanya dengan dahi aku yang masih berkerut.

“I happy sangat hari ni!” Lenny berputar-putar di ruang lapang depan meja. Nampak macam patung ballerina berputar dalam kotak muzik. Aku jadi musykil. Belum pernah aku lihat Lenny gembira begini. Tiada tanda-tanda sebarang omelan atau rungutan akan terlantun dari mulutnya.

“Apa dah jadi?” Aku tidaklah berminat sangat nak tahu hal-hal peribadinya, aku cuma nak pastikan bila angin dia tak baik nanti, aku dah jumpa cara nak memujuknya. Mungkin juga selama ini dia asyik merungut kerana tak ada seorang pun yang tahu cara untuk ambil hatinya.

“Ada pakcik tua kat luar tu –“ tangannya menuding ke arah pintu pejabat. “-dia kata I cantik!”

Really? Siapa?” Aku yakin Lenny bercerita tentang pengemis tua di kaki lima.

“Pakcik yang minta sedekah kat luar tu, -” Sekali lagi Lenny menunjuk ke arah pintu. “- I bagi seringgit dekat dia. Lepas tu, dia doakan I. Dia kata: ‘Semoga Allah jadikan pekerti anak ni sama cantik macam orangnya.’ First time ada orang panggil I cantik, tau!”

Great!” Aku senyum tapi tak mahu komen banyak. Aku yakin pengemis tua di luar tadi benar-benar buta. Tapi melihatkan Lenny yang seperti masih di awang-awangan, aku menambah pujian, “memang you cantik pun. Takkan you tak tau?”

Thanks, babe! You’re the best!” Lenny terus memeluk aku untuk beberapa saat sebelum bernyanyi-nyanyi kecil meninggalkan bilik.

Bagus juga ada pakcik tua di kaki lima itu. Sekurang-kurangnya hari ini Lenny tak merungut atau mengomel dan aku tak perlu jadi mangsa terpaksa menadah telinga. Dalam diam-diam, aku pun rasa gembira saat pengemis itu mendoakan aku tadi. Selain daripada mak ayah kita, siapa saja yang sudi doakan kita? Apa mungkin ada orang asing yang doakan kesejahteraan dan keselamatan kita penuh ikhlas?


Aku baru saja dikejutkan oleh fikiranku sendiri. Tiba-tiba aku berasa begitu kerdil dan berdosa. Patutkah aku usir pakcik tua itu kalau kehadirannya sudah membawa lebih banyak kesan-kesan positif ke ruang pejabat ini?

..... bersambung

Wednesday, December 03, 2014

NaNoWriMo 2014


It had been a pretty busy November. Sometimes everything seems to come all at once and some months you're left with nothing to do but stare at blank pages of your notebook. *Sigh* Such is life. 
So, besides attending Zumba Basic 1 training, I was also busy writing my 50K words manuscript during NaNoWriMo 2014. It was my 3rd time participating. Unlike the 2 previous years, this time I did a Malay manuscript. It is actually the continuation of my novel, Samar. 
Many of my friends were afraid to attempt a Malay novel for NaNoWriMo, I have no idea why. So, I wrote my manuscript and got it verified on the last day of November. Regardless of what language you use, I guess the verification engine would just count the words and never bother to check what you wrote. Well, we can even upload obfuscated text for verification purpose. I hope in 2015 more Malay novelists will participate and get an almost complete novel written in a month's time.


Now I'm supposed to do revision of the manuscript and write the ending of the story, which usually would take about 10K words. I'm not sure when I'm sending it to the publisher (sebenarnya proposal pun belum submit lagi.... hehehe). Sometimes you need to do things on certain days of the month, kan? Bukannya nak cari auspicious date ke apa, it's just that I need to make sure I feel right about something before deciding on submitting them.  
Ok now I need to decide on the title in Malay. ;)

Friday, July 25, 2014

Ini dia ..... Kombo Jerat + Hilang!!

Alhamdulillah. FIXI akan menerbitkan novel Jerat dan Hilang dalam bentuk kombo dengan cover yang sangat awesome ini. Yeay! Dua-dua ini ialah novel terawal saya yang ditulis sekitar June 2011 - June 2012. Bukanlah tulis serentak. Mula-mula tulis Jerat, lepas tu bila Jerat dah berada dalam pasaran selama lebih kurang 6 bulan baru saya tulis Hilang pulak. 
Saya tunggu beberapa bulan selepas novel pertama dipasarkan sebab nak tengok reaksi pembaca dan dapatkan feedback serta komen-komen membina untuk saya improve penulisan sebelum mulakan projek novel kedua. 
Sebelum terlupa, sebenarnya sebelum saya tulis Hilang, saya tulis Di Sebalik Dinara. Tapi Di Sebalik Dinara tu ambil masa sekejap aje, adalah dalam sebulan lebih kot. Lepas dah siap yang tu, barulah saya mula menulis Hilang. 

Bila tengok cover ni mesti terdengar-dengar lagu-lagu EDM (club music) kat telinga, kan?

Kisah Jerat tu berdasarkan pengalaman saya bekerja dalam bidang IT manakala latar cerita Hilang pula berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja kilang satu masa dulu. Dah lama gila dah. Kawan-kawan yang sama-sama kerja kilang tu pun dah tak tau pergi mana. 

Jerat dan Hilang ni kisah yang berbeza tapi kalau anda baca betul-betul dari awal sampai akhir, akan nampak kaitannya kerana ada watak-watak dari Jerat yang muncul semula dalam Hilang. Ni kes malas nak cipta watak barulah ni. Bukannya nak buat sekuel sangat. Entahlah, kadang-kadang tu kita dah habis tulis kisah tu tapi ada sesetengah watak tu masih mengganggu fikiran. Maka terpaksalah saya wujudkan kembali dalam karya seterusnya. (Ya, keji jugak perangai watak-watak macam ni. Suka menyusahkan hidup orang, tau.)

Oh, lagi satu. Jangan tak tahu. Ada watak dalam novel Hilang yang muncul kembali dalam novel Samar. Hahahahaha. Rasanya ramai tak perasan. Okaylah, saya bagi klu. Apakah nama baru Khairani setelah dia dimasukkan dalam program perlindungan saksi? Nama itu ada dalam novel Samar. Salah satu watak utama pulak tu. Eh, melampau jugak perempuan tu, kan? Nak jadi orang penting dalam dua novel!  

Jerat dan Hilang ni kisah jenayah. Ramai juga pembaca yang komplen sebab tak menepati fantasi mereka. Alamak, sorrylah dik. Masalahnya, tak ada kes jenayah yang menepati fantasi sesiapa pun dalam dunia ni. Lagi menghancurkan hidup manusia sejagat, adalah. 

Rasanya, pembaca yang dah biasa baca tulisan saya, akan tahu dan boleh agak bahawa endingnya akan buat anda rasa macam nak hantuk kepala ke dinding ataupun terpinga-pinga sebab tak puas hati. Ramai juga yang kecewa bila watak kegemaran mereka dimatikan. Nak buat macam mana kan.... tiada yang kekal dalam dunia yang fana ini. ;)

Walaupun saya suka baca novel dan tonton cerita-cerita romantik atau romantic comedy, tak tahulah kenapa bila saya menulis je, mesti cerita jenayah yang terhasil. Psycho ke apa ntah agaknya. Tak pernah cuba tulis cerita romantik sebab takut nanti jadi romantic psycho pulak. Jadi, kepada pembaca yang dok request saya tulis cerita cinta tu, minta ampun minta maaf banyak-banyak ya. Tak mungkin akan terjadi. 

Okaylah, sambil bersantai-santai makan kuih raya nanti, jangan lupa memesan Kombo Jerat + Hilang ni, ya? Jualan atas talian akan bermula 31 Julai katanya. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang dah pernah dapatkan novel-novel Jerat dan Hilang dan kepada semua yang bakal dapatkan kombo ini. 

Selamat Hari Raya!




Friday, February 14, 2014

Cerpen: Mungkin dia Valentine kamu

Dia bukanlah jenis manusia yang takut mencuba. Bukan juga jenis yang pemalu tak tentu fasal. Cuma kadang kala dia tampak pendiam dan kerap menyendiri. Tapi kalau disuruh naik ke pentas dan berikan ucapan berpuluh-puluh minit, dia boleh lakukan dengan penuh yakin. Dalam mesyuarat-mesyuarat kelab dan persatuan pun, dia sering bersuara lantang: menyuarakan pendapat, berdebat, mempersoalkan tindak-tanduk ahli-ahli yang lain. Pendek kata, dia jenis manusia yang tak gentar untuk berterus terang. Dia – Khuzairi bin Khalid atau lebih dikenali sebagai Jai miliki sifat kejantanan yang kental dalam diri.

“Habis tu, terketar-ketar ni kenapa?” Sergah Hafiz, membuatkan Jai tersentak di depan cermin.

“Isy, aku tengah praktis ni. Sekarang memanglah ketar sikit. Nanti aku confident lah.” Jai menggosok-gosok kedua tapak tangan. Dia berdiri tegak semula di depan cermin, satu tangan diseluk ke dalam kocek seluar. Satu lagi tangan menepuk-nepuk dada sambil berdeham.

“Okey, sekali lagi. Aku nak tengok macam mana kau nak tanya dia. “ Hafiz kembali duduk di kerusi plastik di tepi meja studi. “One, two, three… go!” Jari telunjuk dituding ke arah Jai.

“Muz,” kata Jai penuh manja, tersenyum mengadap cermin. Tubuhnya disengetkan sedikit. “You sudi tak keluar dengan I for Valentine dinner?”

“Isy! Gedik sangatlah,” tegur Hafiz. Jai mendengus.

“Alah takkan macam tu kau kata gedik? Macho kot gaya aku tadi.”

“Ya Allah, tersenget-senget, tersengih-sengih macam kerang busuk. Takde nya orang macho nak buat camtu lah.” Hafiz bangun dan berdiri di sebelah kiri Jai. Mereka berdua mengadap cermin.  Jai bercekak pinggang manakala Hafiz berdiri santai dengan kedua-dua tangan di sisi.

“Muz, kita gi dinner jom, esok? I belanja. Esok Valentine, beb.” Kening Hafiz terangkat-angkat.

“Itu dah macam rempit punya bahasa, bhai!” Jai menepuk belakang Hafiz hingga dia terdorong ke depan, hampir mencium cermin. Hafiz jadi sedikit berang.

“Rileklah, itu baru contoh pertama. Sekarang tengok, macam mana cara nak ajak Muz, James Bond style pulak.”

“Tak boleh sebab I prefer shaken and stirred.” Jai tergelak.

Hafiz buat muka loya. “Sudahlah. Martini pun tak pernah tengok,” ejeknya.

“Eh! Poyo sangat kau ni! Nak tiru James Bond, apa kejadahnya? Biasa-biasa je tak boleh?”

“Kalau nak, seribu cara, tak hendak, seribu dalih,” perli Hafiz. “Kau nak ke taknak ni? Kalau kau taknak, ramai lagi yang nak ajak Muz keluar Valentine’s Day ni, tau. Mesti ramai yang tengah beratur nak ambik nombor tu.  Jangan frust menonggeng, merengek dalam bilik aku ni nanti, ya?”

Mereka berdua terus berlatih sampai azan asar kedengaran. Selesai solat, mereka sambung berlatih lagi. Jai tak pernah sangka begini payah persediaannya untuk mengajak Muz keluar. Ini hari istimewa, makan malam paling istimewa.

Pada tahun-tahun sudah, dia tak pernah keluar dengan sesiapa pun pada hari Valentine. Lagipun, tahun lepas dia tinggal sebilik dengan Abang Khairul, AJK Biro Kerohanian Kolej Kediaman Kemboja. Awal-awal lagi Abang Khairul sudah tampal pelbagai poster di kawasan kolej kediaman tentang hukum menyambut Valentine. Telinga Jai juga tak habis-habis dipantak dengan aneka pesanan dan peringatan.

“Kalau kamu semua degil, nak sambut juga Hari Valentine, nanti amalan kamu semua ditolak, faham?” Abang Khairul menjegil ke arah beberapa pelajar junior yang dipanggil berkumpul di bilik. Waktu itu Jai sendiri menikus di belakang rakan-rakannya. “Majlis Fatwa dah putuskan sambutan itu bukan amalan yang dianjurkan oleh Islam, jadi kenapa kamu semua nak sambut juga? Nak cari peluang nak dekatkan diri dengan zina, bukan?” Suara Abang Khairul meninggi. Pelajar junior semua tunduk tidak berkutik. Bulu roma masing-masing tegak berdiri bila perkataan ‘zina’ ditekankan oleh Abang Khairul.

Tahun ini Jai tersenyum lega, Abang Khairul sudah tamat pengajian – tiada lagi di Kolej Kemboja. Rakan sebiliknya sekarang pelajar PhD yang sentiasa sibuk siang malam. Jarang-jarang sekali wajahnya muncul di bilik. Jai gembira. Tiada lagi pengawas tak bertauliah yang memantau setiap gerak-geri. Dia kini bebas. Dan perkara yang paling penting dia perlu lakukan tahun ini ialah sambut Valentine dengan Muz.

Aah… Muz…! Dia membisik nama pujaan hatinya untuk kesekian kali hari ini. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Matanya masih belum mahu pejam. Hatinya makin berdebar menanti hari esok. Dia merancang untuk bertemu Muz di kafeteria fakulti pada jam 10.30 pagi, selepas kuliah Akaun. Jai terkebil-kebil merenung siling. Tiba-tiba dia terfikir, macam mana kalau Muz kata Tidak/Tak Mahu? Apa cara dia harus melindungi rasa malu itu nanti?

“Argh!!” Jai memicit-micit kepala. “Apa aku nak buat ni?”

Setelah berlatih berjam-jam dengan Hafiz tadi, keyakinan dirinya sudah terlalu tinggi hinggakan dia terlupa masih wujud kebarangkalian Muz tak sudi keluar dengannya. Sungguhpun mereka sudah berkawan agak rapat sejak sebulan ini dan Muz begitu mesra dengannya, itu tidak menjamin dia sudi menjadi teman untuk Valentine.

Jai bangkit dari katil lantas mencapai buku nota di meja studi. Dia duduk terpaku dengan pen hitam terpegang kemas. Kepalanya mula merangka-rangka ucapan pembukaan. Dia perlu tulis surat ini buat Muz. Dia mesti terangkan perasaan sebenarnya, agar Muz betul-betul faham. Seandainya Muz menolaknya esok, surat ini akan dihulurkan sebagai pengganti diri.

Dear Muz,
Sepanjang 19 tahun kehidupanku, ini pertama kali aku bertemu insan yang benar-benar memahami - seolah-olah otak kita berada pada frekuensi yang sama. Dulu ada yang tuduh aku dungu, budak pelik, bodoh tapi aku telan saja. Kini aku sudah jumpa seseorang yang boleh jalan seiring dan bangun berganding. Aku yakin kau akan terima aku seadanya. 

Daripada kau aku dapat keberanian dan kekuatan, Muz. Kini aku tak lagi takut dengan bayang-bayang sendiri. Aku mahu kau selalu berada bersama, sampai hujung nyawa. Kau harus sedar, kita berdua mampu mengubah dunia – atau sekurang-kurangnya dunia akan buka mata pada kita.

Aku betul-betul sayang kau, Muz. Sampai matipun rasa ni tak mungkin padam. Kau insan pertama yang berjaya hidupkan hatiku yang sudah lama mati. I’ll love you forever and ever and would give everything for this love.

Sayang kamu,
Jai

Surat itu dibaca berulang kali dan setelah puas hati, dilipatnya kemas-kemas dan dimasukkan ke dalam kocek beg kuliah. Akhirnya dia berjaya memujuk mata untuk pejam dan terlena.

Berjalan ke dewan kuliah pagi itu adalah pengalaman yang paling mendebarkan. Dari jauh sudah terlihat Muz turun dari kereta Rudy, pelajar paling kaya dalam kelas. Kata orang ayah Rudy ada berpuluh-puluh syarikat. Kereta yang dipandu Rudy ke kuliah pun, hanya orang berpendapatan lima angka sebulan yang mampu beli. Jai hanya berjalan tunduk ketika melintasi kereta Rudy di ruang parkir.

“Tadi aku nampak kau tersengih-sengih, tapi sekarang, kenapa masam?” Tegur Hafiz yang berdiri di tepi pintu fakulti, menunggunya.

“Tak ada apa-apalah. Dah. Jom masuk. Kuliah dah nak mula. Prof Nazim dah tercongok kat depan tu.” Jai tak mahu memanjangkan apa yang dirasakan tadi. Dia mahu bertenang, bersedia untuk pertemuan dengan Muz yang bakal berlangsung di kafeteria kira-kira sejam dari sekarang. Dia mengurut dada beberapa kali ketika Prof Nazim menyampaikan kuliah. Satu maklumat pun tak tersangkut dalam hati dan kepalanya. Dia terus risaukan apa yang bakal terjadi di kafeteria nanti.

Sebelum tamat kuliah, Prof Nazim mengedarkan helaian tutorial yang mesti disiapkan sebelum kuliah seterusnya. “Saya tahu ada ramai antara kamu yang nak sambut Valentine’s Day. Tapi, jangan lupa siapkan tutorial saya, ya? Tak ke mana valentine kamu tu.” Kata-katanya menghiris hati Jai.

Tapi, kalau dia terlepas ke tangan orang lain, macam mana Prof? Dia menyoal dalam hati. Sementara itu Prof Nazim sudah bersiap-siap untuk meninggalkan dewan kuliah. Hafiz sejak tadi sudah mencucuk-cucuk bahunya dengan belakang pen.

“Apa dia?” Dengus Jai.

“Jom! Cepatlah! Peluang ni hanya datang sekali, woi!” Dia mengingatkan.

Kelam-kabut Jai mengemas barang-barang dan melompat dari bangku lantas membuntuti Hafiz yang sudah melangkah laju. Mungkin sama laju dengan degup jantung Jai sekarang.

Hai, betul ke aku nak buat ni? Aku dah habis fikir ke tentang ni? Dia menimbulkan keraguan sendiri. Tali beg sandang dipegangnya kemas-kemas. Peluh dingin sudah mengalir di pelipis dan belakang tengkuk. Hafiz tersenyum kelat bila Muz, Rudy dan dua lagi pelajar lelaki yang rancak berbual di salah sebuah meja.

“Ramainya asshole keliling dia, Jai,” bisik Hafiz.

“Biasalah tu. Tuhan temukan kita dengan ramai assholes kat dunia ni supaya kita senang nak kenal permata yang tersembunyi di celah-celah longgokan sampah,” jawab Jai dengan tenang. Hafiz terkejut dengan falsafah rakannya yang baru pertama kali didengar.

“Konon-konon, permata tu kaulah, ye? Macam gitu, ek?” Dia menepuk bahu Jai setelah mengambil tempat di sebuah meja yang sangat hampir dengan meja Muz, Rudy dan rakan-rakannya.

“Diamlah, aku nervous ni.”

“Eh, janganlah camtu. Dah penat practice semalam.” Muka Hafiz pula yang bertukar pucat. Dia mahu rancangan ini berjaya. Dia mahu tengok Jai gembira sekali-sekala. Bukan senang jadi budak nerd dalam program matrikulasi. Walaupun baru setahun lebih kenal dengan Jai, dia yakin Jai dah selalu kena buli di zaman persekolahan. Melihatkan perwatakannya yang pendiam dan pemalu, mesti dulu ramai seniors yang suruh dia basuh kasut dan kemas katil di asrama.

“Kita minum dulu, boleh tak? Tekak aku dah rasa macam span basuh pinggan.”

Hafiz membeliak mata. “Wey, tak sempat nanti. Entah-entah Muz dengan geng-geng Rudy tu nak terus cabut kejap lagi. Nanti kau jugak yang putih mata.”

Jai menggosok-gosok kedua tapak tangan. “Yelah. Yelah. Aku pergi sekarang.” Surat dalam kocek beg dibawa keluar lalu digenggam kemas.

“Good luck!” Bisik Hafiz bila Jai bangun dan mula mendekati meja di mana Muz, Rudy dan rakan-rakannya sedang bergelak ketawa. Jai tak mampu menyingkirkan rasa cemburu sejak terlihat Muz dan Rudy bertepuk tampar semasa turun dari kereta pagi tadi. Macam ada sesuatu antara mereka. Tapi dia tak pasti.

“Hi guys! Wassap?” Jai mengangkat tangan kepada Muz dan yang lain. Matanya hanya bertumpu pada Muz.

“Eh, Jai!” Sahut Muz, ceria. “Jomlah, join kitorang. Ajak Upeh tu sekali. Korang ni asyik berkepit berdua je. Jom! Jom!” Di kalangan rakan sekuliah, Hafiz lebih dikenali sebagai Upeh walaupun dia tiada kaitan dengan Upin dan Ipin.

“Er.. aaa.. hmm… takpe.. takpe..” Jai terketar-ketar. “Upeh nak lepak kat situ. Saya nak cakap sikit dengan awak, Muz. Boleh tak? Tapi dengan awak sorang je.”

Rudy dan rakan-rakannya menghadiahkan pandangan pelik. “Cakap ajelah kat sini. Apa yang rahsia sangat ni? ” Tegas Rudy.

“Emm… personal sikit.” Jai tahu dia kena kawal muka, jangan merah padam. Nanti entah apa yang Rudy dan yang lain fikir.

“Oh, it’s okay… it’s okay. We can speak over there.” Muz menuding ke sudut berhampiran pasu bunga besar. Pasu yang sering dijadikan ashtray oleh para perokok tegar di fakulti ini. Jai terus mengukir senyum bila Muz bangun dan mengisyaratkan ‘Jom!’ padanya. “Rudy, tolong jagakan my bag ni, ya?” Muz meletakkan beg LV kesayangnnya di ribaan Rudy.

“Kay…” jawab Rudy sambil mengerling tajam ke arah Jai. “Entah apa-apa lah mamat ni,” rungut Rudy kepada rakan-rakannya.

Muz dan Jai berdiri begitu hampir di tepi pasu besar penuh dengan puntung rokok. Tangan mereka hampir bersentuhan, membuatkan dada Jai kian bergoncang.

“What is it, Jai?” Tanya Muz, manja seperti biasa. “Macam penting je. Are you having any problem with Prof Nazim again?” Muz tahu tentang kisah semester lepas - tentang bagaimana Prof Nazim hampir memotong markah kerana dia mempersoalkan beberapa soalan dalam kertas ujian.

“Oh, tak. Ini pasal lain.” Jai tersenyum kalut. Kata-kata dalam kepala mulai hilang satu persatu. Entah apa yang dihafalnya dengan Hafiz semasa latihan semalam, dia dah tak ingat langsung.

Hafiz hanya memerhati mereka dari jauh. Debar di dada Jai sejak tadi sudah berjangkit padanya. Dia tak mahu rakan baiknya kecewa.

“Cakap ajelah. Mana tahu, kalau I boleh tolong. I promised that we’ll always help each other, kan?” Kata Muz dengan senyum meleret yang sering membuat hati Jai mencair.

“Macam ni. I … er …. I nak ajak you dinner besok.” Sungguhpun tak lancar, kata-kata itu terpantul juga dari mulut Jai.

“Oh! Sure! Boleh… boleh…” Muz bersandar di tiang bersebelahan pasu besar. Jai juga terasa mahu bersandar pada sesuatu. Kakinya makin tak kuat untuk menampung sejuta kegembiraan ini.

“And… will you....will you be my Valentine, Muz?” Graf keyakinannya mula menaik semula.

Ekspresi wajah Muz berubah serta merta. “Valentine? What do you mean? I tak faham. Trend baru ke kat kolej ni?”

“Oh, sebenarnya… sebenarnya…” Peluh dingin mula merenik di pinggir anak rambut Jai. Dia tak dapat menebak apa yang bermain di fikiran Muz sekarang. “I want you to be my Valentine and the love of my life, Muz. We feel so right together. And I love you.”

“Huh?” Wajah Muz seperti kejang seketika. Matanya tak berkelip. “I… I think there’s a misunderstanding between us.” Dia menuding ke arah dadanya dan kemudian ke dada Jai. “A huge one, Jai.”

Jai mula tak tentu arah. “Tapi Muz… I know you love me too. I dapat rasakan Muz. Cara you layan I, cara you cakap dengan I...”

Muz angkat tangan kanan, isyarat agar Jai tidak meneruskan kata-kata. “I’m sorry kalau you rasa macam tu, Jai. Tapi, percayalah you tak patut ikutkan hati macam ni. You are my good friend, Jai.”

Adakah aku sudah dilemparkan ke dalam Friend Zone? Jai tak mampu menidakkan itu. Tapi dia tetap berdegil.

“Please Muz. I love you and I’m sure you will learn to love me,” rayunya.

Muz menggaru-garu kening sambil mengeluh panjang. “Tolonglah Jai. Aku bukan gay lah, babi! Aku straight! Tak faham-faham ke?” Dia mengetap bibir dan terus berlalu meninggalkan Jai yang sudah kian parah.

Tak pedulikan orang sekeliling, Jai mengejar Muz dan menghulurkan surat yang ditulis malam tadi. “Please, baca ni Muz,” bisiknya sebelum berlalu penuh kehampaan. Muz sekadar mencampakkan surat yang dilipat kecil ke meja lalu dikutip oleh Rudy.

Jai capai beg dengan muka masam mencuka. Hafiz, tanpa berlengah, terus bangun untuk menyertai rakannya yang baru saja dikecewakan. Dia sudah bersedia dengan ayat-ayat yang disusun dalam kepala untuk memujuk Jai nanti.

Sementara itu, Rudy dan rakan-rakannya sedang tergelak terbahak-bahak membaca isi kandungan surat Jai. Muz hanya duduk tertunduk memicit-micit kepala. Dia sendiri tak tahu di mana silap dan salahnya hingga jadi begini.

“Apa ilmu kau pakai Muzafar, oi? Budak lembik tu dah syok kat kau. Abislah kau… abislah!” Usik Rudy dengan tawa yang masih bersisa.

Muz merenung sayu ke arah Jai dan Hafiz yang sedang berjalan pantas menuju pintu keluar fakulti. “Entahlah. Arwah ayah aku selalu pesan: kawan dengan orang baik-baik. Aku ikut je nasihat dia. Tapi, macam ni pulak jadinya.”

“Dengar sini nasihat aku,” kata Rudy. “Next time, pasang gay-dar juga kat kepala kau ni. Dari jauh lagi kau dah boleh tahu orang macam Jai tu.”

Hari Valentine datang dan pergi. Jai jadi satu antara berbilion penduduk bumi yang kecewa Valentine ini.