Adv

Wednesday, March 05, 2008

Pilihanraya: Cetusan rasa seorang Makcik Blogger

Hari ini aku benar-benar Melayu dan ingin menunjukkan kepada dunia bahawasanya aku sememangnya Melayu yang sangat arif berbahasa Melayu. Walaupun kali terakhir aku menulis karangan di dalam bahasa ibundaku ini adalah kira-kira 17 tahun yang lampau.

Semasa aku menghidupkan computer riba berjenama Lenovo ku ini tadi, aku teringin sekali hendak menulis sesuatu tentang suasana kempen pilihanraya di negaraku ini. Lebih-lebih lagi, apabila ibuku memberitahu sebentar tadi bahawa rumahnya di kampung sudah menjadi bagaikan bilik gerakan parti BN. Isteri calon BN pun tidur baring di rumah ibuku. Rumah ibuku tidaklah besar dan cantik, hanyalah rumah kampung biasa, separuh diperbuat daripada kayu; separuh lagi simen dan batu-bata. Kemungkinan besar isteri calon BN itu sudah tidak sanggup tidur di hotel di hujung kampung itu, maka dia lebih rela tidur di atas tilam murahan bertemankan bantal-bantal kekabu yang dibuat oleh arwah nenekku ketika aku masih di sekolah rendah dahulu.

Menurut ibuku lagi, abang-abangku sudah tidak lekat di rumah kerana masing-masing menjadi tulang belakang dan tulang belikat untuk kempen pilihanraya kali ini. Maka aku tiba-tiba terbayangkan tajuk-tajuk utama akhbar kebelakangan ini. Hampir setiap sudut di dada akhbar kini memaparkan kempen parti pemerintah. Tiba-tiba sahaja muncul nama-nama projek mega yang tidak pernah kusangka termasuk di dalam Rancangan Malaysia ke 9. Apa lagi bila tiba-tiba ada pengumuman tentang penambahan jawatan-jawatan pertengahan dan tinggi di dalam angkatan tentera. Macam-macam benda boleh berlaku bila tiba musim pilihanraya!

Kempen parti-parti pembangkang juga tidak kurang hebatnya. Manifesto parti terpampang di poster-poster, sepanduk, kain rentang dan dinding-dinding rumah orang.

Namun, suasana kempen yang kulihat di bandaraya ini bagaikan agak hambar dan tawar. Perhimpunan dan ceramah yang dianjurkan di kawasan kejirananku tidaklah semeriah yang aku jangkakan. Berita tentang kehadiran calon-calon di pasar-pasar besar dan pasar basah cuma sempat kubaca di media cetak. Sepanjang 2 minggu ini, aku begitu kerap mengunjungi pasar untuk mengumpul kelengkapan barang dapur memandangkan cuti persekolahan yang kian hampir, tetapi tidak sekalipun aku terserempak dengan calon-calon kawasanku. Mungkin aku yang kurang bernasib baik, agaknya.

Sebaliknya pula suasana di kampung-kampung. Kalimah-kalimah yang tertulis di kain-kain rentang lebih berbisa dan menikam jiwa. Ceramah demi ceramah diadakan saban siang dan malam. Bekalan minuman, makanan dan pastinya Kopi Tongkat Ali di hantar ke setiap pelusuk negara berkontena-kontena jumlahnya. Ini semata-mata untuk memastikan jentera pilihanraya mampu bekerja dengan lebih jayanya. Tidak perlu pergi jauh, jenguklah sahaja ke kawasan Kampung Baru. Bilik gerakan parti-parti bertanding begitu hidup dan meriah. Aku tidak sempat menjenguk ke Kampung Pandan, Kampung Tunku dan Kampung Jawa. Mungkin suasananya juga tidak jauh berbeza.

Kesimpulannya, marilah kita beramai-ramai memeriahkan bilik-bilik gerakan parti-parti yang bertanding, walaupun kita sendiri belum mendaftar dengan SPR kerana pilihanraya bukannya hari-hari. Lagipun inilah peluang hendak meluaskan rangkaian dan meramaikan kenalan. Sambil-sambil itu, bolehlah merasa naik sky-lift untuk menggantung kain rentang. Akhir sekali, jangan lupa pergi keluar membuang undi pada hari Sabtu nanti. Jangan hanya berdegar-degar mengkritik kerajaan di dalam blog sahaja, gunakanlah hak anda dan pilihlah pemerintah dan pemimpin yang berkenan di hati.

11 comments:

ardy said...

Siap ada kesimpulan lagi tu! Memang menepati format, ada pendahuluan, isi-isi dan penutup. Ni mesti kecik-kecik dulu BM dapat A1 ;)

Tapikan, saya dah meluat dengar BN punye iklan kat radio dan TV. Setiap 5 minit ada aje: "kita sudah berada di landasan yang betul, sama-samalah kita terus maju".

Ni yang buat mcm nak pangkah pembangkang aje sabtu ni.

D.N.A.S said...

Ardy,
syabas kerana anda akan keluar mengundi Sabtu ini!!!
Diharapkan lebih ramai warga kota yang bersemangat seperti Saudara Ardy. Jangan ingat bahawa suara kita hanya setitik air di lautan Atlantik; suara-suara yang terkumpul mampu menjadi ribuan suara yang menentukan untung nasib seseorang calon parti dan berapa jumlah majoritinya nanti.

eyna said...

marilah kita tanamkan semangat memperjuangkan hari mengundi ni.. (berkobar2 ni pasal baru 1st time nak mengundi!!..)

parlimen tu kena ada "check & balance".. balik2 suara yg sama.. nak jugak dengar suara2 yg lain..

john f seademon said...

Nyanyilah mengikut lagu yang terkenal tersebut:

"Marilah-mari, kita mengundi, makan nasi daun pisang, di Seri Paandi."

Penulisan puan pada kali ini amat menyentuh hati segala mergasatwa yang ada di dalam banat kita dinihari. Saya amat berbesar hati dapat memberi kata hati di sini hari ini kerana amat berbangga dengan penggunaan Bahasa Malaysia. Hatta, saya juga akan membuat satu penulisan di dalam cataring (singkatan untuk catatan-jaring, sepertimana blog ialah singkatan untuk web-log) saya tidak lama lagi.

Semoga maju jaya memberi pendapat dan hasil nukilan yang bernas.

Sekian, alif ba ta wassalammu.

john f seademon said...

Walau bagaimanapun, anda telah diberi tanda. Sila rujuk http://narcaholic.com/blog/?p=1644

all jazzed up said...

saya nak terkencing dalam seluar baca SD punya komen... heheeh..

tetapi puan dnas, saya tidak mendaftar lagi. mungkin di lain ketika.

east43street said...

Selamat mengundi dayang. Undilah dengan bijak.

Jade said...

apa cerita sehari selepas mengundi? hehehe...

john f seademon said...

Jazzy...sudahkah anda membasuh kencing anda, atau adakah itu juga diberi layanan sepertimana pendaftaran anda sebagai pengundi? Heheehe!

Zetty said...

saudari, ejaan computer di dalam Kamus Dewan ialah komputer.

Lich said...

Saya hairan kenapa ramai lagi percaya kepada UMNO, bilamana qualiti kepimpinan adalah seperti video yang berikut. Sekarang dalam paper sudah nampak kebodohan orang-orang UMNO sendiri dalam paper yang bias kerajaan BN. Kalau baca, cuba fikir sejenak. Hanya orang yang berfikir sahaja akan nampak.

Saya bukanlah alim pun, tapi tidak sanggup sampai ke tahap ini bercakap hingga lupa diri itu siapa di depan Tuhan dan lupa bumi yang dipijak ini milik siapa.

http://www.youtube.com/watch?v=bsjCXHGi3Zg

Sorry yea, bukan saya nak menyemakkan komen di sini, tetapi hanya memberitahu akan kebenaran. Lagipun sudah terlanjur ke sini.

Saya tak sokong memana parti, saya hanya sokong orang yang amanah, jujur, adil dan rendah diri serta beriman kepada Allah. Kebetulan orang yang saya sokong itu daripada PAS, nak buat macamana? ;)