Adv

Sunday, November 27, 2011

Dan seorang lagi kembali kepada Nya.

Dalam satu entri yang kutulis lewat bulan April, dua rakan baru disahkan menghidap kanser. Ketika itu hati sudah terasa retak. Dada sendiri terasa sesak. Apa lagi bila aku saban hari dihidangkan dengan gambar anak-anak comel di Facebook milik salah seorang rakanku ini.
Selang beberapa hari, seorang daripada mereka telah mengadap Ilahi dan mengejutkan kami semua. Kansernya baru di tahap kedua, tetapi Allah maha besar. Rakanku dijemput Pencipta setelah mengadu sakit dada.
Jadi, seorang lagi rakan telah meneruskan perjuangan memerangi kanser. Saban hari, hati terusik membaca statusnya di Facebook, apa lagi bila dia memuat naik gambar anak-anak kecilnya yang gembira kerana 'Papa selalu ada kat rumah sejak papa sakit'. Apalah yang anak kecil itu faham. Pasti sahaja hatinya gembira, apatah lagi si Papa memang kerap bekerja sehingga lewat malam dan selalu ke luar kawasan.
Dia dahulunya bertugas di syarikat yang sama denganku. Kemudian, dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib di tempat baru. Beberapa bulan setelah bertukar kerja, aku ada bertemunya di One World Hotel, dia nampak gembira. Beratnya juga sudah bertambah, begitu ketara.
Setelah disahkan mengidap kanser, terbukti rakan yang seorang ini, begitu tabah orangnya. Walaupun hanya berhubung di Facebook dan email, nadanya sentiasa ceria. Dugaan demi dugaan dilalui tetapi tidak sesekali dia menulis tentang perkara-perkara yang negatif. Mungkin setiap kali dia berhubung dengan rakan-rakan, dia hanya ingin mereka gembira. Derita yang ditanggungnya, ditelan sendiri.
Beberapa orang rakan pergi menjengahnya di hospital ketika menerima rawatan. Semua mengatakan dia begitu kuat dan tabah. Jenaka dan gelak tawanya masih sama. Walaupun menanggung kesakitan, hanya dia yang tahu.
Kerap juga dia menulis tentang kesan-kesan sampingan rawatan yang diterima. Kesakitan sedemikian tidak dapat aku gambarkan. Aku hanya mampu mendoakan agar Allah permudahkan urusannya dunia dan akhirat.
Sejak seminggu lalu, aktivitinya di Facebook bagai terhenti. Rakan-rakan sedia maklum dia sedang menerima rawatan kemoterapi kitaran ke 6. Mengikut perancangan asal, dia sepatutnya menjalani pemindahan sumsum tulang beberapa minggu lepas, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana doktor mendapati pendermanya kurang sesuai.
Bila tiada update di Facebook, kami sudah faham, pasti rawatan kali ini lebih sukar daripada sebelumnya.
Namun, aku tidak sesekali menduga kali ini dugaannya terlalu hebat dan rakanku ini tewas akhirnya. Semalam, selesai solat Zuhur, aku menerima pesanan ringkas daripada seorang lagi teman tentang khabar sedih itu. Rakanku yang tabah telah pergi menemui Pencipta.
Hanya Al Fatihah dan doa mampu aku sedekahkan, agar Allah permudahkan juga urusannya di sana.
Aku doakan juga isteri dan 2 anak kecilnya yang belum mengerti apa-apa akan tabah dengan kehidupan baru, dimurahkan rezeki dan sentiasa dalam lindungan Allah.


3 comments:

the principal said...

Al Fatihah, semoga memberi keinsafan kpd kita yg masih hidup, amin

Kak Azzah8 said...

AL Fatihah..Semoga Allah menempat roh sahabat ini bersama orang-orang yang soleh... Amin

Kak Azzah
SK82

D.N.A.S said...

Thanks Kak Emy & Kak Azzah. Still thinking about his wife and kids. Entah macam manalah diorang meneruskan hidup sekarang agaknya.