Adv

Monday, November 21, 2011

Kedai kopi di siar kaki?

Lebih kurang 4 tahun dahulu, aku pernah duduk menghirup Nescafe ais bersama-sama seorang teman yang gemarkan kopi-o keras di sebuah kafeteria sebuah pelabuhan. Temanku itu gemar juga menyedut asap tembakau sebatang demi sebatang hingga kadang-kadang 2 kotak sehari.
Pada suatu petang, setelah Nescafe dan kopi-o dipesan, kami duduk berbual tentang keanehan mimpi. Dia menceritakan mimpi-mimpi karut yang pernah menjengah tidurnya. Aku tiba-tiba tergerak hati untuk berkongsi sebuah mimpi yang tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa.
Beberapa tahun selepas kematian ayah, aku masih kerap termimpi-mimpikannya. Ada kalanya aku bermimpi melihat arwah beristirehat di rumah, ada kala aku ternampak arwah hanya berdiri memandang ke hadapan. Mimpi yang aku paling ingat, yang terasa seolah-olah seperti benar-benar berlaku ialah bila aku terserempak dengan arwah ayah di sebuah kedai kopi di tepi siar kaki. Aku tidak pasti sama ada itu di negara Perancis atau Itali. Tetapi, kelihatan arwah ayah sedang asyik membaca sebuah akbar berbahasa Inggeris sambil menikmati secawan kopi. Sebatang curut di celah gigi.
Paling aneh, di dalam setiap mimpi, arwah ayah tidak pernah memandang atau berbicara denganku. Di dalam mimpi-mimpiku arwah kelihatan masih berusia sekitar 40an, mengenakan kemeja kegemarannya, berseluar panjang dan bercapal. Sungguh sederhana.
Jadi berbalik kepada mimpi tadi, aku cuba mendekati arwah ayah dan menegurnya. Tapi sayang dia hanya berdiam diri dan terus khusyuk dengan pembacaan. Jadi aku hanya duduk memerhati. Bila akhbar sudah sampai ke penghujungnya dan kopi pahit habis diteguk semua, dia pun bangun meninggalkan meja. Aku menegur sekali lagi, tetapi dia tidak berpaling. Ya, aku menerima hakikat kami sudah tidak berada di dimensi yang sama.
Temanku, si penggemar rokok dan kopi-o keras itu menasihati agar jangan ambil hati. Itu semua hanya mainan rasa. Apa yang sering dirindukan deria rasa, lazimnya muncul dalam mimpi. Aku tak pasti kebenarannya.
Perbualan di petang berangin itu sudah 4 tahun berlalu. Aku hampir terlupa tentang mimpi yang satu itu. Sehingga pagi kelmarin, bila aku melayari Facebook dan terlihat sebuah gambar yang dimuat naik oleh temanku ini. Betul-betul seperti apa yang pernah menjengah aku dalam mimpi. Sebuah kedai kopi kecil di tepi siar kaki. Gambar dimuat naik dari Itali. Aku merenung gambar itu berkali-kali, dan aku terus jadi emo sepanjang hari.

No comments: