Tak pernah ada pengemis di kawasan
pejabat aku ni. Dalam jangkamasa lima tahun – selama aku bekerja di sini –
memang tak ada. Sebenarnya, usahkan pengemis, penjual DVD cetak rompak pun tak
pernah cuba-cuba berniaga di kaki lima ini. Jika penjual DVD cetak rompak tak
ada, makcik-makcik penjual kerepek dan tukang kasut jalanan juga tak berani nak
cuba nasib.
Mereka semua takut dengan Haji
Basri, tuan punya syarikat tempat aku bekerja. Orangnya tegas – cukup benci
dengan lanun cetak rompak. Sedangkan bila bertemu penjual DVD cetak rompak di
kedai makan pun, dia akan soal siasat – Kenapa
buat kerja haram? Kenapa rompak rezeki orang lain? Kenapa tak usaha hasilkan
produk sendiri? Mungkin di kalangan para penjual DVD cetak rompak di kawasan
sini nama Haji Basri sudah terkenal dan cukup digeruni. Dan mungkin kerana itu
juga kaki lima di luar pejabat kami tak pernah ada peniaga yang berani jejak
kaki. Bersih, suci – macam anak dara yang tak pernah disentuh.
Hinggalah pagi ini.
Aku orang pertama tiba di pejabat
sekitar 7.50 pagi. Sebaik turun dari kereta aku terus terlihat seorang pengemis
bersila di kaki lima, sepuluh kaki dari pintu pejabat. Perkara pertama
terlintas di fikiran adalah, mesti dia baru di kawasan ini. Kalau tidak,
masakan dia tak tahu kaki lima pejabat ini kawasan larangan – ada undang-undang
tidak bertulis yang semua orang sudah maklum. Atau mungkinkah pengemis ini
dapat tahu bahawa Haji Basri sedang bercuti panjang?
Aku berdiri lama di tepi kereta,
memerhati lelaki tua berbaju renyuk, bersongkok senget yang menadah sebuah
mangkuk plastik yang serpih. Mulutnya terkumat-kamit, matanya terarah ke
keretaku tetapi tidak menggambarkan sebarang riak. Buta agaknya.
Tak tahu apa yang patut dibuat, aku
masuk semula ke dalam kereta, hidupkan enjin dan pasang muzik. Sambil itu
mataku masih pada pengemis tua di kaki lima. Janggal pula melihat kehadirannya
di situ, di tepi dinding pejabat kami yang gah, dihias penuh elegan. Sungguh
tak kena.
Kesucian kaki lima pejabat aku sudah
dinodai! Ibarat melihat seekor semut hitam yang tiba-tiba muncul di dalam segelas
susu yang putih bersih.
Aku bukan kata yang semut itu hina
bila dia terjun ke dalam susu ataupun susu sudah habis rosak dek kerana seekor
semut. Tapi, situasinya lebih kurang sama. Orang yang dahaga pasti tak suka
bila semut masuk ke dalam susunya. Mungkin dia percaya bila termakan semut,
nanti otak jadi bebal. Tapi sanggupkah orang yang dahaga membuang segelas susu
semata-mata kerana semut seekor? Atau orang yang dahaga akan buang saja sang
semut dan teruskan meneguk susu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku?
Sama situasi aku sekarang. Adakah
aku akan meminta pengemis itu beredar dan teruskan rutin seperti biasa? Atau
satu hari nanti kami semua terpaksa cari tapak pejabat lain bila kaki lima ini
sudah jadi tumpuan berpuluh-puluh pengemis?
Setiap sesuatu itu pasti ada
mulanya. Dan kehadiran seorang pengemis tua di kaki lima pejabat kami ini
mungkin permulaan kepada kedatangan pengemis-pengemis lain, makcik-makcik
penjual kerepek, si tukang kasut jalanan dan pastinya penjaja DVD cetak rompak
yang dibenci Haji Basri. Mereka semua akan jadi berani. Mereka tidak akan
pedulikan Haji Basri lagi. Undang-undang tak bertulis itu akan dilanggar
sewenang-wenangnya.
Sedang aku berdebat dengan diri
sendiri, aku lihat Hasya, rakan sepejabat turun dari kereta dan berjalan ke
arah pengemis yang bersila. Dia menghulurkan sekeping not seringgit dan
disambut pengemis tua itu dengan mangkuk serpih. Hasya terus berlalu, tidak
menoleh ke arahku. Mungkin dia tak tahu aku berada di sini memerhati apa yang
dilakukannya.
Aku jadi sedikit marah. Kenapa Hasya
buat begitu? Dia mahu menggalakkan peminta sedekah mengerumuni kaki lima ini?
Hasya sudah menghilang, masuk ke pejabat dan aku cepat-cepat turun dari kereta.
Sebelum ini berlarutan, aku perlu buat sesuatu. Hatiku nekad menghampiri pengemis
tua tetapi dia tersenyum sebaik terdengar derap tapak kakiku.
“Assalamualaikum, nak. Apa khabar?
InsyaAllah semuanya baik-baik hari ni.”
Langkah aku mati. Pengemis tua masih
tersenyum. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Bila aku amat-amati, dia
sedang berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
“Waalaikumsalam, pakcik.
Alhamdulillah, semua okey,” aku menjawab dan tanpa sedar tanganku mengorek
kocek luar beg tangan, mencari duit kecil yang selalu aku selit di situ. Dua
helai not seringgit aku hulur kepadanya. Seperti menyambut duit Hasya tadi, dia
hulur mangkuk putih yang serpih.
“Alhamdulillah. Semoga Allah
permudahkan semua urusan anak hari ni. Sentiasa pandang ke depan, jangan mudah
mengalah. ” Ucapannya membuat aku terkaget seketika. Itu tips atau motivasi
pagi? Aku menatap wajahnya lagi. Matanya kosong, tidak memberi sebarang respon
bila aku lambai-lambai di depannya. Aku benar-benar yakin dia buta.
“InsyaAllah, pakcik.” Aku berjalan
masuk ke pejabat dan menoleh padanya dua kali.
Aku tercari-cari Hasya tapi tak
kelihatan. Mungkin dia ke tandas. Aku terus masuk ke bilik dan letakkan beg
tangan di tepi meja. Biasanya aku akan terus membancuh kopi panas di pantri
tapi pagi ini aku terus terhenyak di kerusi dan memikirkan bagaimana untuk
memberitahu lelaki tua tadi agar tidak mengemis di kaki lima kami lagi.
Sementara itu aku masih keliru, mengapa aku hulurkan duit padanya tadi?
Bukankah niat asalku mahu memberinya amaran dan pastikan dia beredar segera?
“Morning!”
Suara ceria Hasya mengejutkanku. “Jom breakfast?
Aku terbeli kuih lebih tadi.” Seplastik karipap dijinjing lalu disua padaku.
Aku beri isyarat agar dia makan di bilikku saja.
“Kau bagi sedekah dekat pengemis di
luar tu tadi?” Tanyaku.
Hasya mengangguk lantas ekspresi
wajahnya berubah. “Kenapa? Salah ke? Aku bagi seringgit je. Sebenarnya, aku tak
cadang nak bagipun. Bila aku pergi dekat dia tadi, bila terdengar dia selawat, suara
dia sedap. Sayu pulak rasanya.”
“No.
It’s okay. Akupun sedekah juga dekat dia tadi.”
Hasya hela nafas lega. Plastik
karipap dibuka. Dia ambil seketul dan hulur kepadaku.
“Nanti teman aku jumpa dia?” Aku
tahu aku tak mampu lakukan sendirian. “Kita kena beritahu dia kat situ tak
boleh minta sedekah atau berniaga.”
“Kita kena halau dia?” Hasya tanya
aku macam tak percaya. Aku hanya angguk.
Hasya kembali ke tempatnya dan aku
mula membuka fail pertama yang perlu diuruskan. Sebaris ayatpun tak mampu aku
cerna. Dokumen nipis yang aku cuba baca aku masukkan balik ke dalam fail.
Kepalaku sarat dengan persoalan.
Ayat dan bahasa bagaimana yang aku
nak guna bila bercakap dengannya nanti? Orang tua, hidup susah pula; takkanlah
aku nak guna bahasa macam bercakap dengan kawan-kawan. Atau aku perlu berbahasa
rasmi? Ber’saya-awak’ atau ber’saya-saudara’? Aku terus mereka-reka ayat dalam
kepala. Bukan mudah rupanya untuk mengusir orang dengan bahasa dan cara
terbaik.
Sedang aku merenung dinding, Lenny
menyerbu masuk. Aku selalunya mengelak berjumpa dia pagi-pagi. Ada sesetengah
perempuan, hobinya merungut tak kira masa, tentang semua perkara. Contohnya
macam Lenny. Daripada hal komuter lambat, tumit kasut senget, jiran masak
belacan, sepupu beli beg tangan mahal sampailah ke hal-hal di pejabat, ada saja
rungutannya. Ayat kegemarannya: “Alaa! I bencilah!” Semua benda dia tak suka.
Semua orang menyusahkan dia. Pendek kata, kalau aku berbual dengan dia
pagi-pagi, sepanjang hari aku pula yang jadi murung. Banyak sangat cas-cas
negatif di mana-mana ruang dia berada.
“Guess
what, babe!” Lenny datang dengan muka ceria. Dahiku berkerut. Lenny dengan
muka gembira di pagi hari adalah kombinasi yang tak pernah wujud.
“Apa dia?” Aku tanya dengan dahi aku
yang masih berkerut.
“I happy sangat hari ni!” Lenny berputar-putar di ruang lapang depan
meja. Nampak macam patung ballerina berputar dalam kotak muzik. Aku jadi
musykil. Belum pernah aku lihat Lenny gembira begini. Tiada tanda-tanda
sebarang omelan atau rungutan akan terlantun dari mulutnya.
“Apa dah jadi?” Aku tidaklah
berminat sangat nak tahu hal-hal peribadinya, aku cuma nak pastikan bila angin
dia tak baik nanti, aku dah jumpa cara nak memujuknya. Mungkin juga selama ini
dia asyik merungut kerana tak ada seorang pun yang tahu cara untuk ambil hatinya.
“Ada pakcik tua kat luar tu –“
tangannya menuding ke arah pintu pejabat. “-dia kata I cantik!”
“Really?
Siapa?” Aku yakin Lenny bercerita tentang pengemis tua di kaki lima.
“Pakcik yang minta sedekah kat luar
tu, -” Sekali lagi Lenny menunjuk ke arah pintu. “- I bagi seringgit dekat dia.
Lepas tu, dia doakan I. Dia kata: ‘Semoga Allah jadikan pekerti anak ni sama
cantik macam orangnya.’ First time
ada orang panggil I cantik, tau!”
“Great!”
Aku senyum tapi tak mahu komen banyak. Aku yakin pengemis tua di luar tadi
benar-benar buta. Tapi melihatkan Lenny yang seperti masih di awang-awangan,
aku menambah pujian, “memang you cantik pun. Takkan you tak tau?”
“Thanks,
babe! You’re the best!” Lenny terus memeluk aku untuk beberapa saat sebelum
bernyanyi-nyanyi kecil meninggalkan bilik.
Bagus juga ada pakcik tua di kaki
lima itu. Sekurang-kurangnya hari ini Lenny tak merungut atau mengomel dan aku
tak perlu jadi mangsa terpaksa menadah telinga. Dalam diam-diam, aku pun rasa
gembira saat pengemis itu mendoakan aku tadi. Selain daripada mak ayah kita,
siapa saja yang sudi doakan kita? Apa mungkin ada orang asing yang doakan
kesejahteraan dan keselamatan kita penuh ikhlas?
Aku baru saja dikejutkan oleh
fikiranku sendiri. Tiba-tiba aku berasa begitu kerdil dan berdosa. Patutkah aku
usir pakcik tua itu kalau kehadirannya sudah membawa lebih banyak kesan-kesan
positif ke ruang pejabat ini?
..... bersambung
No comments:
Post a Comment