Tengah hari itu, ketika keluar makan
tengah hari, pengemis tua itu masih bersila di kaki lima. Hasya tanya aku bila
waktu sesuai untuk minta dia beredar. Aku kata, tunggu dulu, biarlah dia di
situ hari ini. Esok lusa pasti dia cari tempat lain. Lagipun kaki lima pejabat
kami agak sunyi. Tak ramai pengunjung. Di kiri kanan pejabat pun bukanlah kedai
yang sesak: ada sebuah bengkel motor, sebuah studio fotografi dan dua lot kedai
yang digabungkan jadi klinik haiwan. Sukar untuk pengemis dapat pendapatan
lumayan di sini. Bila tak banyak pendapatan, pasti dia berpindah ke tempat
lain. Hasya setuju. Dia pun tak sampai hati nak mengusir lelaki tua itu.
Sangkaan kami meleset. Hari-hari
berikutnya pengemis tua itu masih ada bersila di kaki lima. Dia datang sebelum
kami semua sampai dan dia masih bersila di situ selepas kami semua pulang. Aku
dan Hasya tidak berbincang tentangnya kerana kami sama-sama mahu tunggu dan
lihat.
Lenny makin gembira. Setiap pagi ada
saja pujian yang diberikan lelaki tua itu yang buat dia ceria. “Tiap-tiap pagi
aku hulur seringgit. Lepas tu, mesti pakcik tu kata aku cantiklah, wangilah,
bersopan-santunlah. Seronok betul,” kata Lenny bila aku singgah di mejanya.
Aku terdiam tapi hati aku
berkata-kata, ‘Zaman ni semua dah boleh dibeli: cinta, kasih sayang,
persahabatan.’ Siapa sangka dengan hanya bermodalkan seringgit setiap pagi,
Lenny dapat beli rasa bahagia.
“Haji Basri cuti lama lagi. Biarlah
pakcik tu mengemis kat situ. Orang lain pun tak ada yang bising pasal dia,”
kata Hasya. Aku bersetuju. Rakan-rakan sepejabat yang lain makin rajin
bersedekah padanya. Aku dan Hasya tidak terkecuali. Mulanya sekadar seringgit
dua, tapi kelmarin aku hulur tiga ringgit dan dua butir karipap.
“Pakcik memang dah lama tak makan
karipap, nak,” kata pakcik tua itu penuh sayu. Aku nampak air mata bergenang.
Aku hulur juga setin air soya yang aku dah masukkan penyedut siap-siap. Dia
sedut perlahan-lahan berselang-seli dengan menggigit karipap daging. “Jari anak
ni runcing, mesti pandai buat kelim karipap.”
Aku hanya ketawa kecil sebab aku
langsung tak tahu buat karipap. Pakcik tua itu – menurut Lenny namanya Abbas –
terus makan dengan berselera dan aku berdiri di tepi memerhatikannya.
Setelah aku bersedekah kuih dan
minuman, Hasya pula rasa terpanggil untuk belikan Pakcik Abbas makan tengah
hari. Tak lama kemudian Lenny juga turut serta. Dia belikan Pakcik Abbas kuih
muih dan teh tarik untuk minum petang. Lama kelamaan, kami semua rasa
bertanggungjawab atas kebajikan Pakcik Abbas setiap hari. Isu tentang membersih
dan mengosongkan kaki lima langsung tidak disebut oleh Hasya mahupun aku.
Sehinggalah satu pagi bila Khairuddin, si akauntan syarikat tiba-tiba buka
mulut.
“Jangan bagi muka sangatlah dekat
pakcik yang minta sedekah tu.” Air muka Khairuddin keruh bila terserempak
dengan aku di pantri. Aku sekadar angkat bahu. Aku tahu dia tak pernah
menghulur walau seringgit kepada Pakcik Abbas. Malah dia satu-satunya pekerja
di syarikat ini yang langsung tak ambil pusing tentang lelaki tua itu. “Mesti
sindiket yang letak dia dekat situ. Cuba kau tengok, pagi-pagi dia dah datang,
dah lewat malam pun belum balik-balik. Mesti ada kereta atau van yang jemput
hantar.”
Khairuddin sentiasa kaya dengan
teori konspirasi. Ketika negara berhadapan dengan pencerobohan di Lahad Datu,
dia ada teori tersendiri – bukan sekadar
melibatkan projek IC, malah lebih lagi. Ketika peristiwa pengeboman di larian
maraton Boston, dia sudah ada teori sebelum saspek ditahan. Begitu juga ketika Pope
Benedict XVI melepaskan jawatannya; Khairuddinlah orang pertama yang mengumpul
segala bahan untuk menyokong teorinya tentang masalah seksualiti.
“Kalau ikhlas, sedekahlah sikit
dekat Pakcik Abbas. Kalau ada syak wasangka, buat-buat tak nampak aje dia kat
situ, boleh?” Pintaku, tak mempedulikan matanya yang mula terjegil.
“Bodohlah kamu semua ni. Bila Haji
Basri balik dari Europe nanti, mesti dia mengamuk.” Khairuddin berpeluk tubuh
di depanku mempamer keangkuhan.
Aku buat-buat tak dengar dan
tinggalkan Khairuddin dengan ego besarnya di pantri. Aku tutup pintu bilik dan
duduk berfikir di meja. Bila diingat-ingatkan, ada betulnya juga kata-kata
Khairuddin tadi. Haji Basri akan kembali ke pejabat minggu depan. Apa akan jadi
kepada Pakcik Abbas kelak?
Petang itu aku tak pulang awal seperti
biasa. Kebetulan minggu ini giliran aku pegang kunci pejabat. Jam 7 malam
pejabat sudah lengang. Tinggal aku seorang. Aku jenguk ke luar dan lihat Pakcik
Abbas bersandar di dinding, terlena agaknya. Aku masuk semula untuk menyudahkan
beberapa lagi kerja yang perlu beres sebelum kepulangan Haji Basri.
Sekitar 9 malam, mataku sudah
terlalu letih untuk terus membaca beberapa dokumen yang perlu direbiu. Aku
kemas beg, tutup lampu dan kemudian kunci pintu dan roller shutter dari luar. Ketika itu juga Pakcik Abbas melipat
surat khabar yang dibuatnya alas. Seorang lelaki Cina bersubang dan berantai
emas membantunya bangun dan kemudian menuntunnya sehingga ke lampu isyarat. Aku
cepat-cepat mengekori.
Lelaki itu terus membawanya melintas
jalan ke blok kedai bertentangan. Aku berlari-lari anak tidak jauh di belakang
mereka sambil menjinjing beg tangan dan beg komputer aku galas. Di hadapan
sebuah kedai nombor ekor, lelaki yang memimpin Pakcik Abbas tadi
meninggalkannya. Pakcik Abbas berdiri sebentar sebelum seorang remaja ber
T-shirt senteng dan jeans ketat menghampirinya. Mereka berbual seketika sebelum
remaja itu menuntun Pakcik Abbas menuju ke hujung blok. Aku perlahankan langkah
kerana jarak kami kian hampir.
Di hujung blok kelihatan seorang
wanita tua, berbaju kurung kuning dengan selendang putih berdiri dengan senyum
terukir. Remaja tadi membawa Pakcik Abbas kepadanya. Aku terhenti di depan
kedai lampu. Sungguhpun mataku sedikit silau dipanah cahaya daripada
lampu-lampu yang terpamer, fokusku tidak beralih. Aku memerhati perempuan tua
itu memimpin Pakcik Abbas berjalan beberapa meter sebelum mereka naik tangga
menuju rumah kedai di tingkat atas.
Aku turut serta tetapi cuba menjarakkan
diri beberapa meter di belakang mereka.
Rumah yang dituju terletak di
tingkat 3. Wanita tua itu memberi salam dan pintu pun terkuak. Mereka
menanggalkan selipar langsung masuk. Di luar pintu aku lihat ada berpuluh-puluh
pasang selipar yang bersepahan. Aku mula tertanya-tanya, mungkinkah teori
Khairuddin betul? Entah-entah ini asrama yang disediakan sindiket. Pergerakan
Pakcik Abbas tadi tampak begitu terancang.
Beberapa minit aku terdiam, berfikir
di tepi tangga, menimbangkan patutkah aku masuk dan lihat. Mungkin itu saja
jalannya aku boleh tahu sama ada Pak Abbas pengemis sebenar atau sekadar
diperalat sindiket. Bagaimana kalau tempat ini milik sindiket dan ada bouncer di dalam? Aku turun dua, tiga
mata tangga bila terfikir tentang itu.
Tapi, kalau aku tak masuk, aku
takkan tahu kebenaran.
Kaki terus melangkah, mendahului
fikiran dan hatiku. Pintu diketuk tiga kali disertakan dengan salam yang agak
perlahan. Aku terdengar beberapa suara berbual-bual di dalam. Beberapa saat
kemudian, pintu dibuka oleh wanita tua yang memimpin Pakcik Abbas tadi.
“Waalaikumsalam. Cik cari siapa?”
Soalnya, mata meliar ke sekitar tangga, ingin tahu siapa lagi turut bersamaku.
“Boleh saya jumpa dengan Pakcik
Abbas?”
Wanita itu menoleh ke dalam sebentar
sebelum membuka pintu lebih luas. “Jemputlah masuk, Abbas tengah berehat. Penat
tu. Baru balik.”
Sebaik melangkah masuk, pemandangan
yang menantiku bukanlah sesuatu yang sejak tadi terlintas di kepala. Tiada bouncer, tiada ketua sindiket, tiada
pengawal-pengawal. Jauh sekali apa yang disyaki oleh Khairuddin selama ini.
....................... bersambung
1 comment:
Aih... saspen pulak rasa ni.
Post a Comment