Di ruang tamu, ada lapan lelaki tua
berbaring di atas tilam nipis tidak beralas. Beberapa orang wanita lebih kurang
sebaya Pakcik Abbas sedang melipat baju dan mengemas meja makan. Lelaki-lelaki
yang terbaring kelihatan tidak begitu sihat dan ada yang terlalu kurus. Tingkap
rumah itu ditabiri oleh baju dan kain yang bergantungan.
“Pakcik Abbas. Ni, saya datang.” Aku
menghampirinya yang bersandar di dinding sambil salah seorang wanita mula
memicit-micit kakinya.
“Eh?” Pakcik Abbas terkejut langsung
duduk tegak. “Anak ni yang selalu bagi pakcik karipap tu, kan?” Dia memberi
isyarat agar wanita tadi berhenti mengurut.
“Betul, pakcik. Saya ikut pakcik
balik tadi.” Aku duduk di hadapannya. “Sorry.
Saya tak tahu pakcik tinggal dengan kawan-kawan.” Sebenarnya aku tak tahu apa
yang patut aku kata. Timbul juga rasa bersalah kerana mengekornya sampai ke
mari. Aku sudah menceroboh ruang privasi mereka.
“Abbas!” Teriak salah seorang lelaki
tua yang terbaring dengan mata terpejam. “Kau dah balik? Dah beli makanan ke?”
Tanyanya lagi.
“Kejap lagi Salmiah nak pergi beli,”
jawab wanita yang membuka pintu tadi.
Pakcik Abbas mengeluarkan segulung
duit kertas – kebanyakannya not seringgit - dari kocek baju dan menghulurkan
kepada wanita yang mengurutnya tadi. Itu Salmiah agaknya. Melihatkan ubannya
dan tangannya yang menggeletar, aku wajar memanggilnya Makcik Salmiah.
Makcik Salmiah bangun, capai
selendang dan menghampiri wanita tua di tepi pintu. “Beli lauk biasa ke,
Hajar?”
“Belilah lebih sikit, kita ada
tetamu ni,” bisik Makcik Hajar sambil mengerling ke arah aku.
“Eh, tak apa makcik. Saya dah
makan,” aku berbohong walaupun perut sudah mula pedih.
“Kalau tak habis nanti, makcik boleh
habiskan.” Makcik Salmiah ketawa menampakkan gusi yang hanya dihiasi lima, enam
batang gigi. Aku hanya balas dengan senyuman.
“Akupun boleh tolong habiskan. Ayam
goreng jangan lupa, ya?” Lelaki tua yang terbaring tadi bersuara lagi.
“Banyak cakaplah kau ni Rauf. Suruh
pergi kedai tak mau,” rungut Makcik Hajar sebelum menutup pintu. Kedengaran
bunyi selipar Makcik Salmiah perlahan-lahan menuruni tangga.
Makcik Hajar menghampiri aku dan
Pakcik Abbas. “Kat mana kenal dengan Pakcik Abbas, nak?” Dia tanya aku.
“Aku mengemis depan ofis dia,” Pakcik
Abbas yang tolong jawabkan. Aku tak sampai hati nak panggil Pakcik Abbas
pengemis.
“Oh! Kamu dengan kawan-kawan kamu
dah banyak tolong kami, nak. Siapa nama tadi?” Soal Makcik Hajar.
“Adura, makcik. Boleh panggil saya
Dura.” Aku dah Makcik Hajar bersalaman.
“Kami kat sini dah lebih dua bulan,
Dura. Tak ada sesiapa datang tolong. Nasib baiklah dapat sikit-sikit duit bila
Abbas pergi mengemis.” Makcik Hajar menepuk bahu Pakcik Abbas yang sekadar
tertunduk membiarkannya bercerita.
“Macam mana boleh jadi macam ni,
makcik?” Tanyaku. Soalan itu telah menjadi kunci yang membuka suatu kisah
panjang yang selama ini kami hanya mampu teka-teka di pejabat.
.......... bersambung
No comments:
Post a Comment