Pakcik Abbas, Makcik Hajar, Makcik
Salmiah, Pakcik Rauf dan rakan-rakan yang lain asalnya menetap di sebuah rumah
orang tua kira-kira 20km dari sini. Pemilik rumah itu baru meninggal dan
anaknya ambil alih. Malangnya, anaknya telah mengabaikan pengurusan di situ dan
menyerahkan bulat-bulat kepada para pekerja yang sudah tiada motivasi untuk
bekerja. Sudahnya, ramai pekerja yang berhenti dan lari.
Satu hari pemilik rumah itu
memindahkan mereka ke rumah ini. Katanya rumah ini disewa sementara rumah asal
diubahsuai. Para penghuni di sini diminta uruskan hal masing-masing. Yang sihat
terpaksa membantu – termasuklah memandikan, menukar lampin, menukarkan baju dan
memberi makan mereka yang uzur.
Pada mulanya mereka dibekalkan
sedikit wang. Tapi itu hanya pada dua minggu pertama. Mulai minggu ketiga,
pemilik langsung tidak muncul, meninggalkan mereka terkontang-kanting dalam
keadaan serba daif.
Akibat terdesak, Pakcik Abbas
menawarkan diri untuk menebalkan muka dan mengemis di seberang jalan – di kaki
lima pejabat kami.
“Masa muda-muda dulu – masa dia
masih boleh nampak - Abbas ni kerja menulis,” kata Makcik Hajar dengan bibir
terjuih ke arah Pakcik Abbas.
“Pemuisi lah, bukan penulis!” Pakcik
Rauf mencelah.
Aku lihat Pakcik Abbas sekadar
tersenyum. “Alah, pernah tulis sikit-sikit je,” dia merendah diri.
“Tapi banyak kali keluar surat
khabar, keluar majalah,” kata Makcik Hajar penuh bangga.
“Alah, cerita lama. Tak usahlah diheboh-hebohkan
sangat.” Pakcik Abbas seolah-olah kurang selesa untuk menceritakan kisah lampau.
Mungkin ada terselit kenangan pahit yang cuba dilupa.
“Abbas ni pandai bercakap, sebab tu
dia berani duduk dekat kaki lima tu,” tambah Pakcik Rauf pula.
“Kaupun pandai bercakap, Rauf. Minggu
depan kau pulak duduk situ, ya?” Makcik Hajar macam nak mencabar tapi hanya
dibalas dengan ketawa panjang Pakcik Rauf.
“Kalau aku duduk situ, ramailah anak
dara yang tak senang duduk. Tak boleh buat kerja dia orang nanti, Hajar oi!”
Pakcik Rauf berseloroh.
Makcik Hajar mencuit pahaku. “Ha,
yang itu masa muda-muda dulu, buaya darat. Sampai tua perangai tak berubah.”
Mendengarkan gelak tawa Pakcik Rauf
dan perbualan kami, beberapa lelaki tua yang tadi tidur langsung terjaga.
Makcik Hajar memperkenalkan aku kepada mereka. Wanita-wanita tua yang tadi
sibuk dengan kerja masing-masing datang bersila berhampiran kami.
Aku berkenalan dan berbual-bual
sebentar dengan mereka sebelum Makcik Salmiah kembali bersama beberapa
bungkusan nasi, lauk dan sayur. Aku minta diri tapi ditegah oleh Pakcik Abbas.
“Makanlah sekali dengan kami. Dah
lama tak dengar suara orang muda kat sini,” katanya.
“Ha’ah! Segar tulang aku tengok ada
perempuan muda. Kalau tak, asyik nengok muka-muka kedut ni semua,” Pakcik Rauf
masih belum habis guraunya. Makcik Salmiah menampar bahu Pakcik Rauf sebelum
Makcik Hajar mencubit betisnya. Aku ketawa melihat gelagat mereka. Untuk tidak
menghampakan Pakcik Abbas, aku jamah sedikit makanan yang dihidang. Rasa
simpati mula bercampur aduk dengan rasa terhibur pula dengan keletah mereka.
Esoknya hari Sabtu. Sejak pagi, aku
menggelisah di rumah. Aku tak sabar menanti Isnin, langsung aku telefon Hasya dan
ceritakan apa yang terjadi semalam.
“Kita kena bincang dengan Haji
Basri. Mana tahu kalau-kalau dia nak sponsor
mereka semua,” cadang Hasya, membuatkan aku terfikir.
“Itu boleh kira macam CSR, kan? Corporate Social Responsibility.
Syarikat memang ada allocation untuk
tu, kan?” Terasa seolah-olah sebiji mentol baru saja menyala dan menerangi
ruang minda aku yang selama ini gelap dan sempit memikir masalah Pakcik Abbas.
“Haji Basri masuk Isnin. Sempat lagi
kalau kau nak prepare proposal.” Aku
tahu Hasya sedang tersenyum simpul di hujung talian. Seperti biasa, apa-apa
yang berkait dengan kertas cadangan akan diserah padaku. “Marketing manager mesti expert
pasal ni, kan?” Pujuk Hasya lagi.
“Tapi kau kena tolong juga.” Kemudian
aku ingatkan dialah orang pertama yang bersedekah kepada Pakcik Abbas. Dia yang
mulakan.
“Okey… okey… Pagi-pagi esok aku
datang rumah kau,” dia mengalah. Aku tersenyum lebar.
Sepanjang Ahad kami bertungkus-lumus
menyiapkan kertas cadangan untuk projek membantu Pakcik Abbas dan rakan-rakan.
Cadangan sepanjang dua puluh mukasurat itu akhirnya siap pada jam 11 malam.
Hasya dan aku terlentok di ruang tamu. TV terpasang menonton kami yang terlena akibat
keletihan.
Aku tak sedar bila Hasya balik. Bila
aku buka mata, azan subuh berkumandang. Cepat-cepat aku bangun dan bersiap-siap
untuk ke pejabat. Sepanjang perjalanan, perbincangan aku dan Hasya semalam
berputar-putar dalam fikiran. Rancangan dan penerangan kami sudah tersusun
kemas dalam kertas cadangan. Aku terus merangka-rangka dalam kepala bagaimana
hendak membuka perbincangan dengan Haji Basri kelak.
Sampai di depan pejabat, aku terkaku
sebentar. Pakcik Abbas tiada di tempat biasa. Surat khabar yang biasa dibuat
alas masih di situ, ditindih dengan bata kecil. Aku keluar dari kereta dan
lihat sekeliling. Mataku terus bertumpu pada blok kedai di mana Pakcik Abbas
dan rakan-rakannya tinggal. Tingkap rumah kedai di tingkat tiga semuanya
bertutup rapat. Tiada kain atau baju bersidaian.
Sudah jam 8.15. Aku tak punya banyak
masa untuk menyeberang jalan dan pergi ke rumah kedai itu. Dengan berat hati,
aku masuk ke pejabat dan wajah Haji Basri dan beberapa yang lain menyambutku
dengan girang. Sebuah meja panjang yang dipenuhi aneka juadah sarapan pagi sedang
menanti. Haji Basri belanja semua pekerja sempena kepulangannya dari bercuti.
“Mana proposal?” Tanya Hasya sebaik aku menuang kopi. “Kita boleh jumpa
Haji Basri sekarang. Mood dia tengah
elok tu.”
Aku tarik Hasya ke satu sudut, jauh
dari kelompok rakan-rakan yang sedang bergelak ketawa. “Pakcik Abbas tak ada
pagi ni. Tingkap di rumah kedai tu pun semua tutup. Lengang, macam dah tak ada
orang,” aku bisik ke telinganya.
“Habis, kita nak jumpa Haji Basri ke
tak?”
“Lepas lunch, boleh? Sempatlah aku nak pergi check rumah tu tengah hari nanti.”
Hasya setuju. Kami kembali ke
kelompok rakan-rakan yang sedang enak menjamah juadah.
“Karipap banyak ni-“ Khairuddin
mengunjukkan sepinggan karipap padaku. “-bungkuslah untuk Pakcik Abbas kau,”
sindirnya. Aku hanya menghela nafas panjang untuk mengepung kemarahan. Aku tak
mahu jawab apa-apa. Sebarang jawapan, hanya bakal mengundang sindiran yang
lebih menyakitkan hati.
Hari terus berlalu dengan lambat
sekali. Selang sepuluh minit aku mengerling jam. Lambatnya nak tengah hari. Aku
tinjau-tinjau juga Hasya yang duduk tidak jauh dari bilikku. Diapun tampak
gelisah.
Tepat 12.30 tengah hari aku dan
Hasya menyeberangi jalan, menuju ke rumah kedai yang dihuni Pakcik Abbas dan
rakan-rakan. Debar di dada buatkan aku sedikit semput ketika mendaki tangga.
Hasya berlari-lari melangkah anak tangga dengan kasut tumit tinggi. Aku
tertinggal sedikit di belakang.
Kami disambut oleh pintu berkunci dan jeriji yang terdapat mangga sebesar buku penumbuk. Tiada sebarang notis ditampal di pintu. Aku dan Hasya saling berpandangan.
“Macam mana ni?” Tanya Hasya. Aku
hanya mampu angkat bahu. Masih terngiang-ngiang suara Pakcik Abbas, Makcik
Salmiah, Makcik Hajar, Pakcik Rauf dan rakan-rakan yang berbual mesra melayanku
beberapa malam lalu. Kini yang tinggal hanya sunyi dan pintu yang berkunci.
Pintu rumah sebelah terbuka dan
terjengul wajah seorang lelaki cina dengan leher berat digayut rantai emas. Aku
ingat. Dia lelaki yang menuntun Pakcik Abbas melintasi jalan pada petang
Jumaat. Dia memandang kami sedikit kehairanan.
“Hello! Cari siapa?” Dia bertanya.
“Tahu tak mana pergi orang yang
duduk rumah ni?”
Lelaki itu menggaru-garu kepala. “Tak
bayar sewa pada owner. Sudah kena
angkat lori, wo!”
“Lori?” Serentak aku dan Hasya
bertanya.
“Itu, kebajikan punya orang datang
sini hari Sabtu. Sudah angkat semua naik.... aiyya… naik van lah, bukan lori.
Sori… sori….” Lelaki itu tersengih-sengih.
“Tau tak dia orang bawak pergi
mana?” Aku sudah tersandar kehampaan di dinding.
“Tak tau, woo. Tapi baguslah,
kebajikan ambil pergi. Duduk sini tak ada orang jaga, woo. Kesian tengok.”
“You ada mintak contact number diorang tak?” Tanya Hasya pula.
Lelaki cina menggeleng. “Tak ada,
lor. Sayapun terlupa.” Dia menepuk dahi.
“Tak apa – “ Aku angkat tangan
padanya. “- Jabatan Kebajikan dah datang, mesti dia orang uruskan semua.”
Lelaki itu minta diri kerana dia
perlu ke tandas. Aku dan Hasya duduk di tangga – buntu.
“Tak jadilah rancangan kita,”katanya.
“Hmm… Allah sentiasa ada rancangan
yang lebih baik.”
“Ya, aku rasa ini lebih baik
daripada Pak Abbas terus mengemis, ataupun mereka duduk di sini dengan bantuan
syarikat kita, kan?” Hasya menguak rambutnya yang menutup dahi.
“Entahlah, Hasya. Akupun tak boleh
nak agak. Mungkin ini lebih baik, mungkin ada masalah lain pulak nanti. Kita
tengok ajelah.”
“Buat masa ni, ini aje yang terbaik,
kot?”
“Harap-harap macam tu lah.”
Kami duduk di situ hingga habis
waktu makan tengah hari. Bila kami bangun untuk kembali ke pejabat, Hasya cuit
lengan aku.
“Eh, nanti kesian Lenny. Tak ada
orang nak puji dia pagi-pagi.”
Aku terus terlopong dengan mata
terbeliak. Kedua-dua tanganku di bahu Hasya. “Oh no! Nanti akulah yang jadi mangsa dengar dia membebel!”
“Nasib kau lah, Dura.”
Kami ketawa serentak. Dinding rumah
kedai melantunkan suara kami lalu tawa jadi bergaung. Suasana seolah-olah
meriah, walaupun pada hakikatnya ada air jernih bertakung di kelopak mata. Di
bawah bahang matahari, aku dan Hasya melangkah longlai kembali ke pejabat.
No comments:
Post a Comment