Adv

Thursday, October 15, 2009

Kenapa saya menyesal beli dan baca novel ini

Review ini akan ditulis dalam Bahasa Melayu kerana ianya ekslusif untuk pembaca novel Bahasa Inggeris yang mampu membaca Bahasa Melayu. Memartabatkan bahasa ada banyak cara; salah satu daripadanya ialah dengan menghasilkan teks yang hanya difahami oleh orang yang menggunakan bahasa tersebut.

Sebab kedua ialah kerana saya ingin menghentam habis-habisan novel ini kerana telah membuatkan saya mengeluarkan duit berpuluh-puluh ringgit dan meluangkan berhari-hari untuk menghabiskannya tetapi keseluruhannya amatlah mengecewakan. Bacalah sahaja semua pendapat pembaca di Amazon.com untuk mendapatkan ulasan di dalam Bahasa Inggeris. Kebanyakan pengulas juga kecewa dengan hasil karya terbaru Dan Brown ini.



Saya tidak berhajat untuk menghentam banyak, mungkin ada di kalangan pembaca juga berniat untuk mengetahui jalan cerita dan isi kandungan buku ini sendiri. Tiada 'spoiler', saya janji.

Novel yang menarik akan menyebabkan pembaca berasa sangat 'sayang' dan 'terkilan' untuk berhenti membacanya/meletakkannya walaupun untuk seketika. Tetapi ketika membaca novel ini, saya mengambil masa yang amat lama untuk menghabiskannya kerana saya banyak kali hilang minat dan ada banyak adegan 'suspen'nya yang tidak menjadi. Saya tidak tahu apa yang patut saya kejar di dalam novel ini. Tiada watak yang begitu kuat, tiada penemuan atau imbasan sejarah silam yang benar-benar menarik perhatian. Watak Profesor Robert Langdon ada kalanya agak menyakitkan hati dan di akhir novel, saya seolah-olah berharap agar watak itu ditamatkan sahaja. Mungkin sengat penulis telah semakin berkurangan ataupun watak Profesor itu sendiri tidak berjaya dikembangkan. Tiada apa-apa yang baru.

Jelas sekali ketika novel ini ditulis, pengarang telah membayangkan bagaimana ia akan diadaptasikan ke filem sehingga banyak aspek penulisan novel yang diabaikan. Walaupun semua orang maklum hasil karya pengarang ini pasti sarat dengan fakta-fakta sejarah dan debat di antara kepentingan/kebenaran sains dan agama tetapi seni penulisan tidak sepatutnya menjadi kedua penting kerana itulah penentu kepuasan pembaca. Jika suntingan novel ini dilakukan dengan lebih teliti, mungkin hasilnya akan lebih memuaskan. Banyak bab yang meleret-leret dan membebankan minda pembaca bila mana kebanyakan perkembangan babaknya mampu diagak. Tidak ada banyak unsur kejutan seperti yang telah dihidangkan di dalam Angels & Demons.

Untuk ulasan yang lebih adil, novel ini juga menyelitkan banyak nilai-nilai moral dan mengajak manusia kembali mengingati tuhan serta mengkaji semula kitab-kitab agama yang semakin dipandang sepi oleh generasi di era sains dan teknologi ini. Agak ketara kali ini penulis cuba mengambil hati beberapa pihak yang sebelum ini telah terguris dengan penulisan beliau yang terdahulu. Mungkin novel ini akan menjadi lebih menarik jika penulis hanya menumpukan pengupasan dan drama berkaitan kepercayaan mistik, kebenaran dan agama. Unsur sains dan teknologi yang cuba dipaparkan sedikit sebanyak telah mencacatkan keseluruhan penceritaan kerana apa yang cuba diketengahkan tidak kesampaian.

Tetapi saya percaya, apabila novel ini diadaptasi kepada filem, kumpulan pengkarya yang lain yang akan menjadikannya realiti dan saya berharap apabila ia dipersembahkan di layar perak, hasilnya akan jauh lebih baik dari novel ini.

Kepada pembaca yang mungkin pertama kali membaca karya penulis ini harus diingatkan bahawa karya beliau adalah fiksyen. Walaupun banyak fakta yang cuba beliau jelaskan kelihatan begitu meyakinkan tetapi janganlah terlalu terpengaruh. Perdebatan antara sains dan agama bukanlah perkara baru dan telah dijadikan modal utama untuk menentukan novel seperti ini laris di pasaran. Diharapkan tiada akidah yang tergelincir apabila membaca hasil penulisan novelis ini.

4 comments:

Fadh said...

huh...nasib baik tak baca...thanks sbb kongsikan maklumat tersebut.

Jade said...

owh... thank for the review, kakak. saya bercadang untuk membeli buku ini, tetapi kalau ia membosankan... mungkin tidak perlu. haha... bolehkah saya meminjam sahaja buku ini dari awak?

IBU said...

Wahhh....hard cover lagi?

Bagi menghilangkan sedikit rasa terkedu u tu, ibu anjurkan salurkan (channel) the chi to something good - like sharing the book on rotation with other readers (read: bagi ibu pinjam! bagi ibu pinjam!) so that u help prevent others from wasting $$$ .

Amat lah bagus dalam zaman kemelesetan ekonomi ini.Tee hee hee...

Ms Lola said...

Terima kasih atas review anda. Saya baruuuuu je ingat nak beli buku ni