Adv

Sunday, October 09, 2011

Aiman nak dua puluh ringgit je.

Aiman terasa berdebar-debar hendak meminta wang daripada ibu. Cikgu sudah berpesan kepada semua murid dalam kelas 4 Delima untuk membawa duit lebih pada hari esok kerana ada pasaria di sekolah. Aiman sudah membaca flyers yang diedarkan oleh pelajar-pelajar darjah 6. Ada satu gerai yang akan menjual bantal Angry Birds berharga 20 ringgit.

Aiman sudah lama teringinkan bantal Angry Birds. Bantal yang ada sekarang sudah buruk benar, ada gambar Buzz Lightyear yang sudah pudar. Usianya mungkin sudah mencecah 7 tahun.

Ibu sedang sibuk memasak makan malam ketika Aiman menghampiri.

"Ibu, besok Aiman nak 20 ringgit. Nak beli Angry Birds dekat pasaria," katanya takut-takut.

Ibu cuma mengangguk sambil mengacau kari di dalam belanga, dahinya basah dek peluh. Aiman berdiri tegak sambil memerhati perbuatan ibunya, dia menunggu kalau-kalau ibu akan berkata 'OK'. Tetapi ibu hanya senyap dan tidak mengendahkannya.

Aiman sedikit kecewa lalu pergi ke ruang tamu dan duduk di sisi ayah yang sedang membaca akhbar.

"Ayah, besok Aiman nak 20 ringgit. Nak beli Angry Birds dekat pasaria," katanya kepada ayah.

"Hm," ucap ayah pendek dan kemudian terbatuk-batuk kecil lalu berdehem.

"Boleh ke, ayah?" tanya Aiman, meminta kepastian.

"Hm," kata ayah lagi, matanya masih terpaku pada berita hangat di dada akhbar. Langsung tidak berpaling ke arah anak bongsunya.

Melihatkan ayah yang masih ralit membaca, Aiman berlari menaiki tangga ke tingkat atas dan mengetuk bilik Along.

"Masuk!" jerit Along dengan nada sedikit jengkel. Dia tahu Aiman yang berdiri di luar. "Aiman nak apa?" tanya Along sebaik pintu terkuak sedikit.

"Along,  besok Aiman nak 20 ringgit. Nak beli Angry Birds dekat pasaria," kata Aiman sambil bersandar di tepi meja belajar Along.

Mata Along terus terbeliak. "Along mana ada duit sebanyak tu!"

"Tu, dalam tabung tu," Aiman memuncungkan bibir menunjuk ke arah tabung harimau milik Along.

"Itu duit simpanan. Along nak masuk Tabung Haji!" Along naik marah. Kadang-kadang permintaan Aiman agak melampau.

"Takpe lah," kata Aiman, separuh merajuk lalu berlari turun tangga untuk mencari Kak Ngah.

Kak Ngah sedang duduk bersama nenek di bangku batu di laman rumah. Lutut Kak Ngah terluka kerana terjatuh dan nenek sedang membersihkan dengan kapas dan cecair Dettol. Aiman duduk di tepi nenek memerhatikan darah yang menitik di lantai.

"Kak Ngah, besok Aiman nak 20 ringgit. Nak beli Angry Birds dekat pasaria, boleh?" tanya Aiman perlahan.

Kak Ngah mengetap gigi, rasa pedih menusuk bila nenek menyapu Dettol di tempat luka yang agak dalam.

"Sakitnya, nenek," ujar Kak Ngah dan airmata mula mengalir.

"Sabarlah, sikit saja ni. Tapi, mesti bersihkan dulu. Kalau tidak takut terkena jangkitan kuman pulak," pujuk nenek. Kak Ngah terus pejamkan mata dan tidak menjawab soalan Aiman tadi.

"Nenek, besok Aiman nak 20 ringgit. Nak beli Angry Birds dekat pasaria, boleh?" tanya Aiman kepada nenek pula.

Serentak itu, mangkuk berisi larutan Dettol terjatuh dari meja dan berkecai di lantai. Nenek terus terkejut.

"Opocot pocot jatuh! Adoi! Abih jatuh. Pecah berderai dah jatuh," nenek melatah lalu Kak Ngah tiba-tiba ketawa melihat aksi lucu itu.

Beberapa ketika kemudian, nenek dan Kak Ngah berpelukan dan masih ketawa. Masing-masing terasa lucu  dengan situasi tadi. Aiman hanya duduk memerhati dari tepi. Dia yakin Kak Ngah dan nenek tidak berminat untuk melayan permintaannya.

Aiman terus berlari masuk ke dalam bilik tidur. Dia kecewa, air mata membasah bantal Buzz Lightyear. Bila ibu memanggilnya untuk makan malam, Aiman katakan dia tidak lapar. Dia sedih, merajuk dan kecewa. Semua orang tidak sudi memberinya 20 ringgit untuk membeli bantal Angry Birds. Aiman menangis hingga tertidur. Malam itu dia bermimpi tidur di atas bantal baru yang diidamkan, tetapi tiba-tiba bantal itu direnggut kasar oleh satu tangan besar yang berbulu lebat. Aiman menangis teresak-esak di dalam mimpinya.

Malam itu juga ibu, ayah, Along, Kak Ngah dan nenek tidak dapat melelapkan mata. Mereka pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Aiman kerana dia tidak mahu makan malam. Kebiasaannya dia tidak begitu. Masing-masing rasa bersalah pula kerana tidak menghiraukan Aiman.

Ayah dan Along teringat permintaan Aiman lalu menyelitkan 20 ringgit di bawah pintu bilik. Ibu, nenek dan Kak Ngah teringat Aiman ada meminta wang tetapi tidak pasti berapa, lalu ibu dan nenek selitkan 50 ringgit dan Kak Ngah selitkan 30 ringgit.

Bila Aiman bangun keesokan harinya, dia terkejut melihat not 10 dan 50 ringgit yang berterabur berhampiran pintu biliknya. Aiman kutip satu persatu sambil tersenyum. Dia yakin itu pemberian ibu dan ayah. RM170 kesemuanya. Aiman begitu gembira lalu cepat-cepat mandi, pakai baju sekolah dan turun ke bawah untuk bersarapan.

Aiman capai roti bakar yang sudah disapu mentega sebelum mengucup pipi ibu.

"Terima kasih ibu!" ucapnya riang. Ibu mengucup dahi Aiman dan berasa lega kerana rajuk Aiman sudah terhapus.

Van sekolah tiba awal, Aiman tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada ayah yang masih di tingkat atas.

Tengahari itu Aiman semakin girang bila kembali dari sekolah. Ibu dan nenek hanya tersenyum memerhati gelagatnya.

"Dah dapat hajat di hati?" tanya ibu. Aiman cuma mengangguk lalu terus berlari naik ke biliknya.

Pintu bilik dikunci dan beg sekolah diselongkar. Hajat di hati sudah berada di dalam tangannya. Aiman berbaring dengan senang hati.

Sudah ada RM170, buat apa nak beli bantal Angry Birds? Maka Aiman telah membeli sebuah iPod Touch second hand daripada seorang pelajar darjah 6. Aiman terus-terusan tersenyum senang hari itu sambil jarinya ligat dengan permainan Angry Birds di iPod Touch.

5 comments:

ahmad fairos said...

hahaaha,best baca cerita u sampai habis..best saya bagy 8 bintang hehehe

D.N.A.S said...

Thanks for dropping by ahmad fairos! ;) Glad u enjoyed it.

che' nah said...

hahaha. i was dgn berdebarnya expecting some sort of tragic ending bila tengok title with the word "je" tu. nice twist.

D.N.A.S said...

Che' Nah,
masa tulis ni mood tengah happy, so takde lah tragic kisahnya. Hehe.

guess499 said...

hi hi hi.. brilliant! hmm agak ketinggalan gak aku nih. Main angry bird pinjam dan diajar oleh anak buah.